HomeUtamaKerajaan pastikan harga beras di pedalaman Sabah, Sarawak tidak membebankan

Kerajaan pastikan harga beras di pedalaman Sabah, Sarawak tidak membebankan

Read Time:2 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak) mengenai langkah yang boleh diambil bagi memastikan harga beras putih import (BPI) di kawasan pedalaman tidak membebankan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu memandangkan harga di kawasan pedalaman dijangka masih tinggi walaupun kerajaan memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram, mulai esok.

“Sekarang, harga beras (BPI) turun kepada RM31 tetapi di kawasan pedalaman mungkin harganya tinggi sikit kerana kos pengangkutan.

“Perkara ini kita akan bincang dengan kerajaan negeri bagaimana untuk kurangkan kos di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini mala mini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Anwar berkata, kerajaan mengambil keputusan memberikan subsidi untuk BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri yang terbeban dengan kenaikan BPI baru-baru ini.

Katanya, langkah sementara itu juga mengambil kira peratus pengeluaran beras tempatan di Sabah yang kini hanya kira-kira 25 peratus menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.

“Perkembangan semasa terutama yang menyentuh Sabah dan Sarawak dua hari yang lalu setelah kita mendapat dan mendengar keluhan rakyat mengenai harga beras yang meningkat dan membebankan dan seperti kita sudah maklum bahawa beras tempatan tidak tersebar luas, iaitu 25 peratus saja di Sabah, maka di sini terpaksa bergantung kepada beras import.

“Harga beras import ini seperti mana yang disinggung oleh Presiden Jokowi tiga hari lalu akibat daripada keputusan 18 negara menyekat eksport atau mengurangkan eksport maka harga beras melambung naik.

“Tentunya kesan sama di Malaysia, tapi kita tahu apa yang dihadapi rakyat maka pada Isnin lalu kita panggil menteri dan beberapa pegawai Kementerian Pertanian untuk mendengar pandangan, kita putuskan supaya langkah sementara yang dipanggil melalui subsidi kerajaan.

“Subsidi ini maknanya harga itu tinggi dan kita bayar untuk kurangkan, ia bukan ekonomi pasaran, ini disebut sebagai campur tangan kerjaaan untuk mengurangkan beban. Subsidi makanan itu tinggi, subsidi ayam dan telur sehingga 30 Sepetember lalu saja mencecah RM3.8 bilion,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM950 bagi satu tan BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya kepada RM31 berkuat kuasa esok, 5 Oktober.

Anwar berkata, kerajaan memilih untuk mengumumkan pemberian subsidi itu bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan harga beras yang tinggi. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular