Kota Kinabalu : Juara Mentor 5, Salma Asis dan Naib Juara ‘One in a Million’ musim ketiga, Esther Applunius antara artis yang akan membuat persembahan pada Majlis Jamuan Negeri, Sabtu ini.
Pengurus Bahagian Persembahan dan Produksi, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) Supian Buang berkata, majlis makan malam bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah itu akan turut menampilkan artis-artis tempatan Sabah bagi menghiburkan tetamu kenamaan serta jemputan.
Beliau ditemui media dalam raptai penuh majlis terbabit di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.
Turut menjayakan raptai adalah Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Setiausaha Perhubungan Kepada TYT Sabah Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir, Juruiring Kepada TYT Sabah, Kol. Herman Bombang, Pengarah Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri, Shafaruddin Halide.
Pada tahun ini, sebanyak 14 program telah disusun oleh Jawatankuasa Induk Sambutan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam bagi meraikan sambutan ulang tahun rasmi ke-70 TYT Sabah.
Penetapan Sabtu pertama Oktober sebagai sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT Sabah dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sabah bermula tahun 2010.