HomeUtamaTH sumbang RM500,000 kepada UMS, bantu ringan beban kewangan mahasiswa B40 dan...

TH sumbang RM500,000 kepada UMS, bantu ringan beban kewangan mahasiswa B40 dan asnaf

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Iqra Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membantu meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan mahasiswa berstatus B40 atau asnaf.

Sumbangan itu akan dimanfaatkan oleh sebahagian daripada 14,000 mahasiswa UMS yang berada dalam golongan B40 terutamanya keluarga asnaf yang kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, beberapa universiti tempatan telah mengenal pasti ramai mahasiswa mereka yang berasal daripada keluarga B40.

“Para pelajar ini terpaksa menahan perut berlapar kerana tidak mempunyai wang belanja yang cukup dan menghadapi masalah untuk membayar yuran kursus dan asrama masing-masing.

“Melihat kepada permasalahan ini, TH telah mengambil inisiatif membantu mahasiswa dari golongan B40 melalui Program Iqra IPTA dengan kolaborasi beberapa buah insititusi pengajian tinggi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra IPTA 2023 di Pusat Islam UMS di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Sa’id dan Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Md. Mansur.

Mohd Na’im berkata, pihaknya memuji usaha TH yang sentiasa komited dalam menyokong pelbagai inisiatif ke arah melestarikan pembangunan dan kemajuan diri, masyarakat dan negara khususnya komuniti Islam melalui pembayaran zakat dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zakat TH.

Program Iqra’ IPTA 2023 ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.5 juta disumbangkan kepada 20 IPTA terpilih seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 mahasiswa dalam kalangan asnaf dan B40.

Katanya, sumbangan itu diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa terpilih untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang, seterusnya meningkatkan taraf sosio- ekonomi diri dan keluarga pada masa hadapan.

Program Iqra’ TH yang telah dilancarkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu program CSR yang   telah membantu 100,000 pelajar IPTA asnaf dan yang memerlukannya dengan bantuan berjumlah lebih RM34 juta.

Program Iqra’ TH pada mulanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah namun TH telah meluaskan bantuan sasaran kepada pelajar asnaf dan B40 yang mengikuti pengajian di peringkat menara gading.

TH sentiasa komited dalam menjalankan program-program CSR bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular