HomeUtama88 kontinjen sertai Istiadat Perbarisan Ulang Tahun Rasmi TYT Sabah

88 kontinjen sertai Istiadat Perbarisan Ulang Tahun Rasmi TYT Sabah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 88 buah kontinjen terdiri daripada pelbagai kategori mengambil bahagian dalam upacara Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka di sini pagi tadi.

Antara kontinjen yang terlibat adalah terdiri daripada kontinjen kategori jabatan kerajaan berpakaian rasmi; kategori jabatan kerajaan tidak berpakaian rasmi; kategori sekolah menengah; skeolah rendah; Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S); kategori persatuan etnik Sabah; kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO); kategori swasta dan komersil.

Istiadat perbarisan bermula seawal jam 7.10 pagi bagi kategori jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi; agensi swasta; pertubuhan bukan kerajaan; persatuan etnik Sabah; IPTA/S; sekolah menengah dan rendah mula memasuki Padang Merdeka.

Sejurus selepas itu, acara diteruskan dengan Tabik Hormat DiRaja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion ke-22 Regimen Askar Melayu Diraja, Kem Sri Kinabatangan Sandakan kepada Tun Juhar kira-kira jam 8 pagi.

Majlis diteruskan dengan nyanian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku diikuti tembakan meriam sebanyak 17 das daripada Rejimen Ke-6 Artileri Diraja yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Azmi Sidek dan dianggotai oleh tiga pegawai dan 30 anggota lain-lain pangkat.

Acara diteruskan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Juhar dan kemudiannya memeriksa Perbarisan Kontinjen yang mengambil bahagian sambil diiringi oleh Panglima 5 Divisyen dengan menaiki kenderaan Istiadat.

Hadir sama pada upacara istiadat itu Isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Isteri, Datin Seri Juliah Salag serta menteri kabinet Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Majlis diserikan lagi dengan acara persembahan khas iaitu kawad formasi oleh pasukan kawad Sekolah Henry Gurney Keningau dengan keanggotaan seramai 31 orang pelajar.

Selain itu, persembahan khas lain turut dipersembahkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) diiringi dengan nyanyian kumpulan koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Selesai majlis istiadat perbarisan di Padang Merdeka, majlis diteruskan dengan upacara Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu.

Seramai 1,209 penerima akan menerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Antara penerima ialah Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada malam ini, turut diadakan adalah Majlis Makan Malam Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – SABAH MEDIA/ FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

156 pelajar layak terima WPP, persediaan awal ke IPT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular