Putatan : Seramai 40 peserta masing-masing 20 peserta dari Putatan dan Papar menyertai dua kursus secara serentak yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam.
Kursus anjuran Biro Wanita Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Pusat dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) itu dirasmikan Pengerusi PMBS Cawangan Putatan yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Dayang Hajijah Ag Ali.
Antara kursus yang diadakan ialah kursus memproses dan masakan mee di Putatan manakala di Papar pula diadakan kursus kemahiran dan keusahawanan membuat kek, bun dan pastri.
Dayang Hajijah berkata, kursus itu adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang proses pembuatan dan masakan mee.
“Kursus yang diadakan secara percuma untuk golongan wanita ini juga bertujuan untuk menambahkan lagi pengetahuan dan sumber pendapatan mereka.
“Saya juga berharap agar para peserta yang menyertai kursus ini akan dapat menggunakan pengalaman yang diperolehi untuk meningkatkan lagi kualiti pembuatan mee mereka dan produk-produk yang berkaitan dengan mee,”katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah JPSM Norsiah Abdul Rahman kerana memilih PMBS untuk bekerjsama menganjurkan kedua-dua kursus ini.
Sementara itu di Papar kursus yang diadakan disempurnakan wakil PMBS, Sarah Ali dan beliau berterima kasih kepada Biro PMBS Pusat yang diketuai Datuk Masnah Matsalleh dan JPSM telah memilih Papar menganjurkan kursus ini.
Katanya, kursus seumpama ini dapat memberikan peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu untuk menambahkan lagi produk jualan mereka kepada para pelanggan.
Dalam pada itu Masnah berkata, sepanjang 10 bulan pertama tahun ini dan tahun lalu Biro Wanita PMBS telah melaksanakan pelbagai kursus dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Negeri yang lain.
Beliau juga memaklumkan biro itu akan menerbitkan Buku Masakan Makanan Tradisi Brunei yang dijangka akan dilancarkan pada Karnival Baurung-Urung PMBS dan Ekspo Halal Sabah yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah pada 28-29 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). – SABAH MEDIA