HomeIsu tempatanMarai Parai berpotensi dibangunkan sebagai lokasi eko pelancongan

Marai Parai berpotensi dibangunkan sebagai lokasi eko pelancongan

Read Time:2 Minute, 2 Second

Kota Belud : Ekspedisi Saintifik Marai Parai – Gurkha Hut 2023 merupakan satu pencapaian yang sangat signifikan dalam usaha untuk mengenalpasti dan mengkaji laluan Marai Parai menuju ke puncak Gunung Kinabalu.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, ia juga bakal menjadi lokasi eko pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan berdasarkan kajian yang dilaksanakan bersama 10 agensi.

Katanya, ekspedisi itu turut melibatkan pihak komuniti Kampung Kiau sebagai Guide dan Porter. 

“Skop kajian yang luas dalam ekspedisi ini merangkumi pelbagai bidang termasuklah bidang biologi, geologi, sosiologi, hidrologi, dan biodiversiti. Ini menunjukkan komprehensifnya pendekatan kita dalam memahami dan menjaga kawasan yang sungguh unik ini. 

“Salah satu kajian yang menarik kali ini adalah penilaian impak denai dan potensi ekopelancongan di sepanjang laluan Marai Parai – Gurkha Hut sejauh 24 kilometer oleh pasukan penyelidik daripada TTS, UPM, dan UMS, yang dibantu oleh guide dan porter yang berpengalaman. 

“Ini merupakan penyelidikan pertama seumpamanya di Taman-Taman Sabah. Saya amat berbesar hati dan gembira mendengar perkongsian yang bermanfaat daripada penyelidik-penyelidik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Ekspedisi Saintifik Marai Parai – Gurkha Hut 2023 di sini hari ini.

Maklarin berkata, pengumpulan data saintifik hasil daripada ekspedisi ini akan menjadi panduan penting dalam pembangunan laluan Marai Parai ke puncak Gunung Kinabalu. 

Katanya, data-data ini merupakan maklumat yang sangat berharga dan membantu dalam merancang laluan dengan berkesan dan berpengetahuan dalam konteks kelestarian alam sekitar.

“Selain daripada pengumpulan data, ekspedisi ini juga bertujuan untuk melengkapkan pelan pengurusan laluan Marai Parai. Pelan ini akan memastikan bahawa laluan ini dapat digunakan dengan selamat oleh pengunjung tanpa mengganggu ekosistem semulajadi dan keunikan alam sekitar. 

“Ekspedisi ini juga bertujuan untuk mengenalpasti elemen-elemen eko-pelancongan yang terdapat di sepanjang laluan Marai Parai. Ini adalah langkah penting dalam mempromosikan pelancongan lestari dan menjaga keindahan alam semulajadi, seterusnya memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menjana pendapatan melalui eko-pelancongan,” katanya.

Ekspedisi selama 14 hari yang berakhir esok turut disertai seramai 216 peserta terdiri daripada para penyelidik dan kakitangan dari pelbagai jabatan dan agensi.

“Secara peribadinya, saya amat berpuas hati dan bangga dengan komitmen semua pihak yang bersama-sama menjayakan ekspedisi yang julung kali diadakan ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan objektif ekspedisi ini tercapai dengan jayanya. 

“Hasil ekspedisi saintifik ini kelak akan dibentangkan dalam satu seminar khas dan dicadang untuk terbitan ilmiah dalam Sabah Parks Nature Journal atau mana-mana penerbitan saintifik yang relevan,” tambah Maklarin. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular