HomeUtamaPelancong melawat Sabah diingatkan peka dengan etika berpakaian, hormat budaya tempatan -...

Pelancong melawat Sabah diingatkan peka dengan etika berpakaian, hormat budaya tempatan – Christina

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Semua pelancong yang melawat Sabah diingatkan supaya sentiasa peka dengan budaya tempatan khususnya berkaitan etika berpakaian serta menghormati adat dan tradisi destinasi yang mereka kunjungi itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew memberi peringatan itu susulan gambar yang kembali tular di media sosial pada Khamis, menunjukkan seorang pengembara hanya berpakaian bikini bersama beg bagasinya, berdiri di sepanjang Jalan Gaya di pusat bandar Kota Kinabalu.

Difahamkan, gambar tersebut diambil kira-kira sebulan lalu.

“Saya ingin mengingatkan semua pengembara supaya berhati-hati dengan kod etika berpakaian di mana-mana destinasi yang mereka lawati.

“Berhati-hati dengan persekitaran anda juga. Anda boleh mengetahui melalui pemerhatian bahawa pusat bandar adalah lokasi perniagaan dan terdapat pelbagai pelancong yang berkunjung.

“Justeru itu, melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB), kami sering mengingatkan pengembara tentang etika berpakaian dan amalan adat resam di Sabah. Namun, mereka boleh membuat kajian, jika tidak pasti, tentang negara yang mereka ingin kunjungi. Hormati budaya tempatan,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api Api itu berkata, walaupun Kota Kinabalu dianggap sebagai bandar pulau kerana berdekatan dengan pulau-pulau seperti Taman Tunku Abdul Rahman, Pulau Sepanggar dan Pantai Tanjung Aru, tetapi kita boleh lihat cara berpakaian di pusat bandar tidak seperti pakaian berada di tepi pantai.

Sementara itu, Christina turut mengulas mengenai gambar tidak senonoh turut tular di media sosial iaitu seorang wanita separuh bogel bergambar di hadapan bangunan STB.

Katanya, perkara itu amat menyedihkan apabila mengetahui ada niat jahat sedemikian, bagaimanapun pihaknya sedang menyiasat kesahihan akaun dan imej yang tular di media sosial itu.

“Kami sedang menyiasat kesahihan akaun dan imej itu. Namun begitu, kami memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan imej dan akaun itu sekiranya ada yang terjumpa apa-apa posting sedemikian di media sosial,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular