Kota Kinabalu : Program Jualan Rahmah (PJR) yang dilaksanakan tahun ini akan diteruskan pada tahun depan menerusi peruntukan tambahan RM150 juta.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu merupakan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini.
Katanya, langkah Kerajaan itu adalah bagi membolehkan program berkenaan diperluaskan lagi ke lebih banyak lokasi pada tahun depan selain akan turut menambah baik inisiatif PJR berkenaan.
“PJR pada hari ini merupakan siri ke-375 diadakan di Sabah dan nasional sehingga semalam adalah yang ke-2723 dilaksanakan dan kita bersyukur dari maklum balas masyarakat di seluruh peringkat,
“KPDN dalam Belanjawan 2024 telah mendapat peruntukan sejumlah RM150 juta untuk meneruskan PJR pada tahun depan.
“Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang melihat program ini sebagai antara strategi intervensi dan mitigasi dalam kita menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan PJR Bergerak di Kampung Warisan Darau di sini hari ini,
Armizan berkata, PJR telah dimulakan dalam premis dan luar premis kemudian dilaksanakan secara bergerak dengan barang jualan boleh diperoleh pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus.
“Pada tahun depan kita cuba merintis satu kaedah baharu yang kita namakan Jualan Rahmah di Pasar Rahmah.
“Ini pendekatan yang kita cuba untuk rintis bagi menambah baik dalam memastikan kaedah ini diperluas selaras dengan manifestasi Kerajaan untuk mengurankan kos sara hidup rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA