Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Hampir 4000 peminat kumpulan muzik terkenal Indonesia, ST12 dan Nidji membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini menyaksikan persembahan mereka yang berlangsung pada Sabtu malam (21 Okt).
Dianjurkan oleh ZR Project dan MW Pertama, ST12 menganggap Malaysia sebagai rumah kedua manakala Nidji yang pertama kali membuat persembahan merasa teruja dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh para peminat di Sabah.
Malah kemunculan mereka dalam konsert berjudul ST12 & Nidji Live In Sabah ini ternyata memberikan pengalaman yang bermakna buat mereka dan semua peminat yang terlibat.
Julung kali menggabungkan ST12 dan Nidji di atas satu pentas, ZR Project dan MW Pertama juga memberi keistmewaan kepada penggemar mereka di Nusantara apabila konsert sulung ini dilaksanakan di Sabah.
Lebih mengujakan, penganjur turut menerbangkan mantan vokalis ST12 iaitu Firman bersama Aris sebagai penampilan khas.
Aris hadir mendendangkan lagu antaranya Jangan Pernah Berubah manakala Firman turut menyanyikan lagu popular bertajuk Jangan Pernah Berubah dan Kehilangan.
Nabiha Aimi mewakili MW Pertama berkata, ST12 & Nidji Live In Sabah akan menjadi sebuah kerjasama dalam penganjuran projek mega terbaik yang pernah dianjurkan oleh ZR Project dan MW Pertama.
Sementara itu Pengarah Urusan ZR Project, Zizan Razak berkata, beliau percaya walaupun berbeza dari segi genre namun keunikan muzik kedua-dua band dapat memukau semua peminat.
“Kami percaya walau berbeza dari segi genre, namun keunikan muzik daripada kedua-dua band ini, dapat memukau semua. Kami sangat teruja dan bangga membawakan ST12 & Nidji Live In Sabah sebagai hadiah buah tangan paling indah buat para peminat.
“Konsert ini merupakan sebuah usaha besar kami bagi mempromosikan kepelbagaian budaya yang ada di negeri Sabah,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas konsert itu.
Nidji yang hadir dengan 13 buah lagu antaranya Hapus Aku, Arti Sahabat, Bila Aku Jatuh Cinta, Disco Lazy Time dan pastinya Laskar Pelangi.
Manakala ST12 persembahkan 16 buah lagu antaranya Puspa, Rasa Yang Tertinggal ,Cukup Sampai Di sini , Cari Pacar Lagi dan Putih-Putih Melati melengkapkan konsert yang berdurasi selama tiga jam itu.
Disamping itu, konsert yang menampilkan kemunculan Anwar Amzah sebagai artis pembuka tirai konsert ini turut memukau para penonton dengan menyelitkan elemen muzik tradisional suku kaum etnik yang terdapat di negeri Sabah.
Konsert turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Pihak ZR Project dan MW Pertama berasa sangat berbesar hati dan teruja dengan sambutan konsert yang pertama kali mereka anjurkan dan berterima kasih kepada pihak yang terlibat khasnya buat para penaja iaitu Era Sabah, Brown Café, Karamunsing dan NH Travel.
Dalam pada itu kemunculan Dato’ Amy Search yang merupakan elemen surprise (kejutan) menambahkan lagi kehangatan konsert itu.