HomeIsu tempatanSolidariti kepada Palestin antara tema pakaian kontinjen perarakan Maulidur Rasul

Solidariti kepada Palestin antara tema pakaian kontinjen perarakan Maulidur Rasul

Read Time:1 Minute, 19 Second

Sandakan :  Solidariti terhadap rakyat Palestin menjadi tema pakaian kebanyakan kontinjen perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) 1445H/2023 Peringkat Daerah Sandakan.

Tinjauan seawal 5.45 pagi mendapati, Padang Bandaran Sandakan mula dikunjungi oleh beberapa kontinjen dan bilangannya kemudian mencanak naik menjelang jam 7 pagi hingga melimpah ke luar kawasan padang berkenaan.

Paling signifikan, bukan sahaja dikibarkan tetapi rata-rata 78 kontinjen daripada pelbagai agensi, jabatan kerajaan, NGO serta institusi pengajian tinggi turut mengenakan busana dan perhiasan berasaskan warna Bendera Palestin.

Tepat jam 7.30 pagi, perarakan 7,000 umat Islam sejauh 4.2 km diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dari Padang Bandaran Sandakan menuju ke Dewan Masyarakat.

Mengiringi Arifin ialah Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, ADUN Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat, ADUN Dilantik Jaffari Waliam yang juga Pengerusi Innoprise Capital Sdn, Bhd. dan Presiden II Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Farizal Setoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana sambutan tersebut.

Malah, Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan turut menyeru umat Islam di negeri ini agar terus mendoakan saudara seagama di Bumi Gaza agar diberikan kekuatan dalam mendepani ujian yang diberikan Allah Subhanahu Wata’Ala (SWT).

“Pada kesempatan ini jua, saya menyeru kepada semua hadirin wal hadirat agar sentiasa mendoakan saudara seagama kita di Bumi Palestin. 

“Panjatkan doa kepada Allah SWT agar mereka sentiasa mendapat Nusroh Allah SWT dan diberikan kekuatan bagi menghadapi ujian berat ini,” katanya di Dewan Masyarakat, pada Sabtu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

1,069 pelajar PKK sertai MTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular