HomeUtamaSabah teliti arahan mewajibkan guna bahasa Melayu dalam surat rasmi

Sabah teliti arahan mewajibkan guna bahasa Melayu dalam surat rasmi

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan meneliti dan membuat keputusan mengenai arahan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi jabatan Kerajaan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Dr Ahemad Sade berkata, bagaimanapun pada ketika ini Sabah masih menerima surat rasmi dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Ini mungkin akan dibincangkan bersama oleh pimpinan tertinggi kerajaan negeri Sabah. Kita akan putuskan nanti sama ada ikut Pusat atau tidak, mungkin sebelum sidang DUN November nanti.

“Sekarang boleh guna dua-dua bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), tapi kita akan teliti nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Jabatan Perhutanan Sabah (OACP JPS 2023-2027) dan Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak (SPPR)(Online System), di sini, hari ini.

Ahemad diminta mengulas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai langkah mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi jabatan kerajaan.

Semalam, Perdana Menter mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan saja mana-mana surat yang tidak menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa itu asas Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, EXCO Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata Sabah akan memperhalusi dan membincangkan apa-apa cadangan mengenai penggunaan bahasa untuk urusan rasmi dalam konteks Sabah.

Katanya, ketika ini kebanyakan urusan surat-menyurat rasmi dalam perkhidmatan awam di negeri ini memang menggunakan bahasa kebangsaan, kecuali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggunakan bahasa Inggeris.

“Kebanyakan urusan surat-menyurat rasmi dalam perkhidmatan awam di negeri ini memang menggunakan bahasa kebangsaan. Namun, terdapat juga GLC yang dalam keadaan tertentu menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam semua surat rasmi dalam urusan kerajaan seeloknya diselaras terlebih dahulu dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar baharu itu demi kebaikan bersama.

“Tidak dinafikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia dan kita mengalu-alukan dasar baharu ini, bagaimanapun kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tidak dapat dipertikaikan. 

“Bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa global yang digunakan dengan meluas dan perlu dikuasai terutama dalam kalangan kakitangan awam yang berurusan di luar negara dan golongan pelajar yang akan meneroka bidang ilmu dalam bidang pendidikan, seterusnya diaplikasi dalam dunia pekerjaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular