HomeUtamaDr Justin rakyat Malaysia paling lama berada di Antartika jalani penyelidikan musim...

Dr Justin rakyat Malaysia paling lama berada di Antartika jalani penyelidikan musim sejuk

Read Time:2 Minute, 54 Second

Sepang : Saintis Malaysia kelahiran Sabah Prof Dr. Justin Sentian semalam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tujuh bulan berada di Antartika bagi menjalani ekspedisi penyelidikan musim sejuk.  

Ekspedisi yang dianjurkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama organisasi Instituto Antarctico Chileno (INACH) dan Kedutaaan Chile di Malaysia di adalah untuk menjalankan Penyelidikan berkaitan perubahan iklim bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’.

Penyelidikan itu turut mendapat kerjasama rakan penyelidik dari negara Chile di stesen penyelidikan Profesor Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika.

Dr. Justin yang juga pensyarah di Fakulti Sains dan Sumber Asli, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk menjalankan penyelidikan ini. 

Keberadaan Dr. Justin di Antartika selama tujuh bulan itu melayakkan beliau diiktiraf sebagai rakyat Malaysia yang pertama menjalani ekspedisi di Antartika semasa musim sejuk dan rakyat Malaysia paling lama berada di Antartika bermula 21 Mac hingga 20 Oktober lalu.

Dr Justin ketika ditemui berkata beliau amat bersyukur dan berpuas hati dengan segala perancangan dan kerja-kerja penyelidikan di Antartika selama lapan bulan telah berjaya dilaksanakan. 

“Saya telah memperolehi data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika. 

“Di samping itu saya juga berjaya mengambil  197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesies halocarbon seperti bromokarbon dan sebagainya. 

“Data-data ini penting dalam kajian kimia ozon atmosfera terutama di lapisan troposfera and stratosfera, dan juga implikasiny ke atas peningkatan paras ozone troposfera dan kesan jangkamasa Panjang kepada perubahan iklim memandangkan ozon permukaan ini merupakan bahan pencemar sekunder dan juga  gas rumah hijau yang penting dalam isu pemanasan bumi, di mana ozon ini mempunyai keupayaan memerangkap haba 1000 kali lebih baik dari karbon dioksida,” katanya.

Menurut beliau lagi, kajian ke atas halokarbon seperti bromokarbon juga boleh membawa implikasi penting bukan sahaja kepada kimia ozon atmosfera tetapi juga peranannya sebagai bahan penipis ozon. 

Tambahnya, pemanasan bumi di Antartika akibat perubahan iklim  boleh merangsang pembebasan gas-gas halocarbon ini dari sumber-sumber semulajadi seperti dari lautan.

“Halokarbon ini adalah bahan semulajadi yang boleh menipiskan lapisan ozon. Jika ini berlaku, usaha negara-negara di dunia termasuk Malaysia untuk memulihkan lapisan ozon melalui implementasi Montreal Protocol akan terencat,” katanya.

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, beliau berdepan pelbagai cabaran yang perlu di hadapi terutama mental dan fizikal yang perlu kuat untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem, di mana ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan rebut salji mencecah kelajuan 120 km/jam.

Selain itu keadaan cuaca yang tidak menentu dalam satu hari, selalunya menyukarkan beliau untuk mengambil sampel terutamanya air laut dan ais laut. 

Beliau berharap, hasil kajian ini dapat memberi impak yang signifikan ke   atas pemahaman  variasi ozon dan spesies-spesie hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca yang ekstrem pada musim sejuk di samping menyumbang kepada penjanaan ilmu baru bukan sahaja  di kalangan saintis kimia atmosfera tetapi juga kepada  seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika. 

Terdahulu, ketibaan Dr. Justin Sentian disambut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPASM Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh Mohd Nor.

Hadir sama,  Prof. Dato’ Dr. Azizan Abu Samah, dan Ketua Pegawai Eksekutif YPASM Abd Shukor Jamaluddin serta ahli keluarga Prof Dr. Justin. – SABAH MEDIA / FOTO YPASM

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular