HomeUtamaHasilkan produk makanan halal Sabah untuk pasaran global

Hasilkan produk makanan halal Sabah untuk pasaran global

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu:  Kerajaan Negeri mahu lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sekadar untuk pasaran tempatan, malah ke peringkat global.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan oleh usahawan tempatan hingga ke peringkat lebih tinggi. 

Katanya, walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun masih perlu terus dipergiatkan.  

“Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan halal di Sabah. 

“Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya expo halal  yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka,”  katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival BaurungUrung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M.Yahya. 

Hajiji berkata, Kerajaan sangat mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah USD2.4 trilion pada 2024. 

Katanya, keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan isu-isu halal serta mencadang langkah baharu bagi membangun industri  halal di negeri ini. 

Katanya, yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan halal khususnya kepada PMKS. 

“Ini penting  agar PMKS  juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini”, katanya. 

Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau berharap Expo Halal Sabah yang diadakan akan memantapkan lagi kefahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada pemain industri dan pengunjung expo.  

“Expo ini juga dapat menjalin  jaringan kerjasama pemain-pemain indusrti  halal di dalam dan luar negara, di samping memperkenalkan produk-produk halal buatan tempatan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penganjuran karnival itu bagi memupuk maufakat dan sikap toleransi dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.  

Beliau berharap Karnival Baurung-Urung sebagai antara khazanah budaya negeri ini yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.  

Katanya, masyarakat Brunei yang memiliki pelbagai khazanah seni budaya dan adat resam, boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan. 

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan. Karnival seumpama ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan sumber pendapatan pelancongan negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Gagasan Rakyat yakin rampas kerusi DUN Karambunai pada PRN17 – Arshad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular