HomeUtamaFahmi mahu pastikan tiada pemberhentian kerja petugas media

Fahmi mahu pastikan tiada pemberhentian kerja petugas media

Read Time:2 Minute, 5 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu :  Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meletakkan azam mahu memastikan tiada pemberhentian kerja berlaku dalam kalangan pengamal media selama beliau menggalas tanggungjawab selaku peneraju kementerian itu.

Fahmi berkata, beliau mempunyai ramai rakan dalam kalangan pengamal media terutama ketika menjadi kolumnis di The Star lama dahulu, justeru adalah sesuatu yang sedih apabila melihat rakannya serta pengamal media lain kehilangan kerja terutama ketika pandemik Covid-19 yang melanda dahulu.

“Saya rasa bertuah apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta saya menggalas tanggungjawab dan amanah ini yang membolehkan saya berkhidmat untuk membantu rakan-rakan saya. Tempoh pandemik (Covid-19) menampakkan suatu senario yang amat mencabar.

“Mencabar bukan sahaja dalam sektor ekonomi tetapi juga kepada tuan puan (pengamal media) semua, banyak yang hilang kerja… kami akan cuba yang terbaik supaya wartawan di masa saya tiada yang kena diberhentikan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Kinabalu Press Award 2023 di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai serta Presiden Sabah Journalist Association (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Fahmi berkata, dalam mendepani situasi itu libat urus bersama pengamal media sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media di Parlimen dijangka Mac tahun depan adalah penting supaya majlis itu antara lain mampu memainkan peranan menjaga kebajikan petugas media.

“Saya telah minta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (Teo Ni Ching) mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pengamal media selepas kita selesaikan beberapa perkara.

“Kami inginkan undang-undang yang lebih komprehensif sebelum melangkah ke hadapan,” katanya.

Fahmi berkata, beberapa tahun sebelum ini, berbilion telah melayang ke media sosial terutamanya tiga nama ini, Google, Meta dan TikTok, maka satu keadaan menang-memang mesti dicapai terutamanya dengan media sosial dan pertubuhan media.

“Ini adalah penting supaya kita boleh memiliki media yang mampan, untuk mendapatkan media yang mampan kita perlukan libat urus dan situasi menang-menang serta satu kemenangan dalam media yang beretika baik.

“Saya bercakap daripada dalam hati saya, kita mahu sebuah masa hadapan yang cerah untuk dunia kewartawanan dan tidak mahu lagi ada yang kehilangan kerja,” katanya.

Mengakhiri ucapannya Fahmi sempat menyampaikan serangkap pantun empat kerat dalam Bahasa Kadazandusun dan dialih bahasa ke dalam Bahasa Melayu yang mendapat tepukan dan sorakan gemuruh hadirin seperti berikut:

Ogingo o tuva bambangan poinsom’puu
Nansak kinotu toiso om iso
Sundung potuu misuvai boos om toigitan
Montok Malaysia monunuat abal, misompuu tomoimo

Cantik bergugus buah bambangan
Masak dipetik satu persatu
Walau berlainan bahasa dan pegangan
Demi Malaysia pengamal media bersatu

BERNAMA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular