HomeIsu tempatan69 murid, guru dan staf SKPK Tuaran sertai sambutan Hari Penglihatan Sedunia

69 murid, guru dan staf SKPK Tuaran sertai sambutan Hari Penglihatan Sedunia

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Seramai 69 orang peserta dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Tuaran telah menyertai sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang berlangsung di dewan sekolah tersebut, baru-baru ini.

Program anjuran SK Pendidikan Khas Tuaran dengan kolaborasi bersama Jabatan Paediatrik dan Oftalmologi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah adalah merupakan kolaborasi yang kedua antara kedua-dua pihak.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Khas Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, Jurainih Brahim.

Selain murid, guru dan staf SKPK Tuaran, turut hadir seramai 23 orang staf dari Jabatan Paediatrik dan Oftalmologi, HWKKS telah menyertai sambutan ini yang diketuai oleh Dr Mohamad Isra Mohamad Isa (Ketua Jabatan Paediatrik dan Oftalmologi).

Turut serta ialah Prof. Dr. Shuaibah A.B. Ghani iaitu Ketua Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hari Penglihatan Sedunia disambut pada hari Khamis kedua bulan Oktober, setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan mata dan mewujudkan rasa empati kepada mereka yang mengalami gangguan penglihatan dan tidak mempunyai akses untuk rawatan mata.

Sambutan ini adalah sangat penting kerana SKPK Tuaran adalah satu-satunya sekolah rendah di Sabah yang menempatkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Kurang Upaya Penglihatan dari pra sekolah sehingga Tahun 6.

Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan sepanjang pelaksanaan program iaitu Aktiviti Orientasi dan Mobiliti dan Pertandingan Goalball (Friendly Match).

Pada program itu juga, semua peserta berpeluang untuk merasa kehidupan sebagai seorang yang mempunyai Kurang Upaya penglihatan dengan menjalankan aktiviti seperti berjalan menggunakan tongkat putih, berjalan menaiki dan menuruni tangga serta mengisi air dalam gelas. Aktiviti ini dijalankan dengan peserta menutup mata menggunakan blindfold.

Selain itu, pertandingan Goalball yang dijalankan memberi peluang kepada staf Jabatan Paediatrik dan Oftalmologi untuk bermain Goalball, iaitu salah satu permainan khusus untuk Orang Kurang Upaya Penglihatan.

Pertandingan ini mendapat sambutan yang meriah dengan pelaksanaan lima pusingan perlawanan sengit antara pihak sekolah dan wakil hospital.

SKPK Tuaran memenangi pertandingan secara keseluruhan dan memegang piala pusingan.

Selain itu, pihak sekolah turut menerima sumbangan tongkat putih, set permainan Carom dan set Pétanque yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Israk Mohamad Isa dan Prof. Dr. Shuaibah A.B. Ghani kepada pihak sekolah. Sumbangan-sumbangan yang diterima ini akan diguna oleh semua murud-murid SKPK Tuaran dalam menjalankan aktiviti pembelajaran di sekolah.

Kolaborasi seumpama ini dapat memberi impak yang besar kepada semua peserta terutama MBPK Kurang Upaya Penglihatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Ia dapat membantu melahirkan MBPK Kurang Upaya Penglihatan yang aktif bukan sahaja dari aspek jasmani, tetapi juga dari segi emosi, sosial, Rohani dan intelek.

Program seperti ini turut dapat membantu memperkenalkan murid-murid kepada masyarakat luar melalui interaksi antara peserta yang hadir sepanjang sambutan Hari Penglihatan Sedunia berlangsung.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular