Kota Kinabalu : Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sabah berjaya meraih tempat bagi lima kategori daripada lapan kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023.
Penyampaian anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Avenue Bangi Selangor itu disempurnakan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Anak Dagang.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara,Datuk Azman Mohd Yusof, dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara, Dato’ Che Roslan Che Daud.
Antara anugerah yang diraih adalah Johan bagi Kategori Pengurusan Jiran Wanita Terbaik yang telah dianugerahkan kepada Jiran Wanita KRT Baginda Keningau manakala Johan bagi Kategori Pengurusan Skim Rondaan Sukarela Terbaik dinobatkan kepada KRT Bandulan, Kota Kinabalu.
KRT Baginda, Keningau juga turut meraih Naib Johan dalam Kategori Inovasi Rukun Tetangga Terbaik manakala Jiran Muda KRT Kg. Hobut Tuid, Matunggong memenangi Naib Johan bagi Kategori Pengurusan Jiran Muda Terbaik.
Sementara KRT Kg Muhibah Kalasahan, Matunggong pula telah meraih tempat ketiga bagi Kategori Projek Ekonomi Rukun Tetangga Terbaik.
Turut dipertandingkan adalah Kategori Pengurusan Warga Emas Terbaik, Kategori Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik dan Kategori Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2023.
Anugerah yang diadakan dua tahun sekali ini telah menyaksikan persaingan antara 31 buah KRT dari seluruh 15 negeri yang berjaya tercalon ke peringkat akhir bagi semua kategori untuk merebut tempat utama.
Semua kategori yang dipertandingkan telah melalui duasesi penilaian iaitu penilaian dokumentasi dan juga penilaian lapangan bagi menentukan kedudukan. – SABAH MEDIA