KOTA KINABALU: Institusi Kajian Pembangunan Sabah (IDS) perlu terus menjadi badan penyelidikan dan pemikir untuk membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri akan
terus menyokong usaha yang dibuat oleh IDS termasuk sentiasa menjadikan IDS sebagai entiti rujukan serta panduan yang utama.
“Perjalanan untuk memastikan Sabah benar-benar Maju Jaya untuk semua rakyat di negeri ini adalah satu tanggungjawab kita bersama. Saya akan sentiasa memberi
perhatian kepada setiap hasil dan dapatan kajian daripada IDS dengan teliti, sekali gus mampu memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat di negeri ini.
“Besar harapan saya agar IDS bukan sahaja sebagai badan pemikir untuk
pembangunan ekonomi tetapi sebagai badan pemikir untuk kedua-dua rakyat dan negeri, iaitu suara penghubung pemimpin dan rakyat demi kepentingan negeri,” katanya sempena Majlis Apresiasi dan Malam Gala sempena Ulang Tahun Ke-38 Institut Kajian Pembangunan Sabah, di sini pada Selasa.
Beliau turut berharap kakitangan IDS akan terus menggalas tanggungjawab dengan penuh komited dan tidak mudah patah semangat khususnya ketika melakukan penyelidikan yang memberi manfaat kepada negeri ini.
“Sebagai penyelidik perintis, IDS secara keseluruhannya menggalas harapan dan aspirasi Sabah. Dengan usaha yang diambil, kita mampu untuk mencapai tahap
pemikir tertinggi dan keyakinan yang diperlukan untuk memenuhi peranan sebagai pelaksana dan pembolehdaya.
“Dalam usaha kerajaan negeri mahu membawa lebih banyak pembangunan termasuk pelabur ke Sabah, peranan IDS sebenarnya amat penting,” katanya.
Hajiji berkata, keupayaan IDS untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa, berinovasi secara konsisten dan memperhalusi idea sedia ada adalah bukti legasi yang terpelihara sejak dari hari pertama institusi ini ditubuhkan.
“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada IDS kerana berjaya melaksanakan Majlis Apresiasi dan Malam Gala sempena Ulang Tahun Ke-38 institut ini. Sesungguhnya, legasi ini telah menyumbang kepada pembentukan landskap Sabah
dan membentuk barisan pemimpin yang mempunyai keupayaan yang kompeten.
“Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan beberapa menteri, wakil rakyat, dan juga penyelidik yang lahir dari IDS. Kesemua mereka mempunyai daya kompetensi yang tinggi hasil daripada pengalaman dan pendedahan semasa berkhidmat di institut ini,” katanya.
Beliau turut berharap semua warga IDS akan sentiasa bersedia untuk menjadi generasi pelapis penggubal dasar dan pemimpin demi menangani cabaran masa kini
dan masa depan, berpandukan nilai penyelidikan dan pendekatan berasaskan data untuk pembangunan.
“Sejak dari awal saya menggalas mandat sebagai Ketua Menteri, saya telah melihat sumbangan yang tidak ternilai yang telah diberikan oleh IDS kepada Kerajaan Negeri. Penyelidikan yang dihasilkan dengan ketelitian intelektual dan analisis secara konsisten memenuhi jangkaan tinggi yang diharapkan daripada sebuah badan pemikir.
“Kesungguhan IDS dalam menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan, Perancangan Daerah, kajian sempadan dengan Kalimantan, serta libat urus bersama pemegang taruh adalah komitmen yang mendukung aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Usaha ini disokong oleh komitmen IDS untuk meningkatkan kapasiti akar umbi. Komuniti akar umbi telah menikmati tahap kerjasama, kestabilan, dan keharmonian
yang belum pernah berlaku sebelum ini antara satu sama lain. Saya berasa terharu melihat keutamaan IDS untuk memastikan pembangunan yang saksama di seluruh Sabah,” katanya.