HomeIsu tempatanI-Medik Sabah anjur kursus pelatihan berkaitan isu seksualiti dan reproduktif dalam kalangan...

I-Medik Sabah anjur kursus pelatihan berkaitan isu seksualiti dan reproduktif dalam kalangan remaja

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu : Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dengan kerjasama Persatuan Fikrah Ummah Medika Sabah (PERFUMS), I-Guru Sabah dan Aman Palestin Sabah telah mengadakan program Training of Trainers (TOT) ReproAlert, di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini.

TOT ReproAleart merupakan program yang julung kali diadakan bertujuan memperkenalkan pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif berasaskan kekeluargaan, Islam dan nilai ketimuran. 

Menurut Dekan FPSK UMS merangkap Presiden PERFUMS, Datuk Dr. Yusof Ibrahim, kolaborasi dalam menjayakan TOT ReproAlert itu merupakan satu permulaan baik dalam memberi kesedaran tentang pendidikan seksual kepada semua lapisan masyarakat. 

“Mutakhir ini, permasalahan sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja amat membimbangkan. Kecanggihan dan perkembangan teknologi memudahkan akses kepada perkara negatif seperti pornografi yang menyebabkan kerosakan akhlak dalam kalangan masyarakat hari ini seperti jenayah rogol, liwat dan amang seksual. 

“Harapan kita agar program seumpama ini dapat menarik keterlibatan lebih ramai pihak dalam usaha menangani isu seksual dan reproduktif dalam kalangan pelajar,” ujarnya. 

Tambah Yusof, pihaknya juga berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan dan disebarkan merentasi pelbagai budaya dan agama di Sabah.

“Saya juga percaya program ini dapat memberikan para peserta pengetahuan dan pengalaman berharga untuk disampaikan kepada masyarakat umum kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TOT ReproAlert, Dr. Muhammad Ikmal Mohamad Kamil berkata satu modul pendidikan seksual yang sesuai dengan lokaliti Malaysia amat diperlukan pada masa kini. 

“Pada hari ini kita berdepan cabaran dalam pendidikan seksualiti seperti kurangnya kemahiran, mangsa seksual semakin muda, desakan sekularisme dan ideologi-ideologi luar, ancaman teknologi siber dan banyak lagi cabaran lain yang tidak tersenarai.

“Oleh itu, kita memerlukan modul pendidikan seksual yang sesuai dengan lokaliti Malaysia, pendidik yang terlatih serta tenaga yang lebih ramai,” jelasnya. 

Seramai 45 orang peserta mengikuti program ini yang terdiri dari kalangan profesional kesihatan, pensyarah, guru dan pendidik masyarakat.

Antara modul yang dikongsikan pada program itu termasuklah perkembangan jantina dan kecelaruan gender, kesihatan psikoseksual, anatomi dan fisiologi, penderaan dan salah laku seksual serta panduan pelaporan.

TOT ReproAlert turut dilengkapi dengan latihan dalam kumpulan (LDK) yang membincangkan isu seperti pengurusan nafsu, penyakit kelamin, ancaman pornografi, kontraseptif dalam konteks kekeluargaan Islam, keselamatan atas talian, buli siber, sentuhan selamat serta konsep akil baligh.

Turut hadir sebagai penceramah, Pakar Fisiologi Gender Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Labuan, Dr. Shafiah Solehah Ismail. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular