HomeIsu tempatan10 acara akhir hiasi sambutan hari kedua Regatta Lepa ke-28

10 acara akhir hiasi sambutan hari kedua Regatta Lepa ke-28

Read Time:1 Minute, 38 Second

Semporna: Sebanyak 10 acara peringkat akhir termasuk dua acara terbuka telah berlangsung pada hari kedua sambutan Regatta Lepa kali ke-28 pada tahun ini.

Bermula seawal jam 8 pagi, Pertandingan Akhir Lumba Kelle (kayak) kategori lelaki perseorangan dan wanita masing-masing didominasi Pasukan Pendekar Laut dan Pasukan Sinulayan menewaskan lebih 20 pasukan lain dari sekitar Semporna.

Manakala, bagi acara kayak berpasangan lelaki dimenangi pasukan Sumandi Ambal Pasandal dan berpasangan wanita pula diraih pasukan Belimbang.

Acara sebelah pagi diteruskan dengan pertandingan akhir acara tarik tali atas perahu yang memerlukan para peserta mengayuh perahu masing-masing sambil perahu mereka diikat pada perahu lawan.

Dalam acara tarik tali itu, kategori lelaki dan wanita masing-masing dimenangi pasukan Sumandi Ambal Pasandal dan pasukan Sinulayan Gajah Minah.

Paling menarik, dua acara baharu yang diperkenalkan iaitu acara menyelam mencari piring dan pertandingan mengejar itik (terbuka) nyata berjaya menarik minat warga Semporna dan para pengunjung dari luar daerah sekali gus menggamatkan suasana di Dataran Lepa. 

Pertandingan menyelam mencari piring mewajibkan peserta menyelam ke dasar laut untuk mengumpulkan piring sebanyak mungkin dan peserta dengan bilangan piring terbanyak dikira sebagai pemenang.

Sementara, pertandingan mengejar itik pula menetapkan semua peserta perlu berenang mengejar itik yang dilepaskan oleh urusetia dan peserta dengan bilangan itik terbanyak diangkat sebagai menjadi pemenang.

Paling dinantikan, perarakan masuk tiga buah lepa tradisi dan 94 Kumpit Berhias ke perairan Dataran Lepa menjadi acara kemuncak pada hari kedua sambutan berkenaan.

Beberapa jabatan kerajaan negeri dan persekutuan turut mengambil bahagian mengadakan pameran yang diadakan di Dataran Regatta Lepa termasuklah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Terdahulu, para pengunjung dihiburkan dengan persembahan Pancaragam Kontinjen Sabah yang diketuai oleh Inspektor Wilbonoh Zain bersama artis kebudayaan Daerah Semporna dendangan lagu-lagu bertemakan Sambutan Regatta Lepa.

Hadir menyaksikan sambutan hari kedua itu Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Samad Jambri @ Jamri dan Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Alumni UMS diseru beri, sumbang kembali kepada universiti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular