HomeSukanKBS mahu para atlet Sabah sentiasa utamakan aspek disiplin

KBS mahu para atlet Sabah sentiasa utamakan aspek disiplin

Read Time:1 Minute, 51 Second

Putatan : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah mahu para atlet di negeri ini sentiasa mengutamakan aspek disiplin yang merupakan elemen penting dalam melakukan persediaan bagi menyertai suatu kejohanan besar termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA.

Setiausaha Tetap KBS Sabah Datuk Mansur Asun berkata, atlet yang tidak mengamalkan disiplin dalam pasukan dilihat agar sukar untuk membawa nama baik negeri ke persada lebih tinggi dalam kejohanan yang disertai.

“Justeru, pihak Kementerian berharap semua pegawai dan jurulatih akan terus menjadi `mata-mata’ membantu kementerian ini memantau disiplin setiap atlet negeri dan membuat laporan segera jika ada atlet yang melanggar disiplin dan menunjukkan sikap tidak baik yang boleh merosakkan perancangan dan persiapan kita menghadapi suatu kejohanan terutama Para SUKMA 2024.

“Mereka yang tidak berdisiplin perlu diambil tindakan segera dan kementerian ini tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas termasuk menggugurkan nama atlet yang terlibat dari senarai Para SUKMA negeri. 

“Ini kerana, kita tidak mahu umpama `nila setitik, rosak susu sebelanga’, yang bermaksud kita tidak mahu atlet tidak berdisiplin ini merosakkan keseluruhan kontinjen Para SUKMA Sabah kerana misi kita tahun depan adalah sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan latihan pusat fasa akhir sempena persediaan temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini semalam.

Mansur berkata, pihaknya turut percaya kontinjen Para SUKMA Sabah telah bersedia untuk bersaing sebaik mungkin dan membawa pulang kejayaan pada Para SUKMA yang akan berlangsung di Sarawak tahun depan.

“Pada Para SUKMA 2022, bendera kita bendera Sabah telah dikibarkan sebagai bendera utama sebanyak 54 kali. 

“Di Sarawak tahun hadapan, KBS Sabah menaruh harapan setinggi Gunung Kinabalu untuk melihat bendera Sabah terus berkibar megah melepasi jumlah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mansur turut berharap agar semua atlet dapat menjaga pemakanan seharian terutama melibatkan pengambilan makanan-makanan tambahan `supplement’.

“Dapatkan nasihat jurulatih dan pakar sebelum mengambil sebarang supplement kerana kita takut kandungan dalam supplement yang diambil mengandungi bahan terlarang yang akan menyebabkan anda tidak dibenarkan bertanding atau keputusan pertandingan dibatalkan kerana tidak melepasi saringan dadah atau `doping’,” katanya.

Latihan pusat itu disertai seramai 118 orang atlet Para melibatkan 10 jenis sukan, termasuk sukan sukan Boccia.

Sukan-sukan lain yang terlibat ialah badminton, olahraga, ping pong, boling padang, tenpin boling, catur, renang, memanah dan powerlifting. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Sabah FC waspada bertemu pasukan bekas ‘Ketua Kampung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular