HomeEkonomiProjek Pelancongan: Borneo Semporna Resort dilancar hari ini

Projek Pelancongan: Borneo Semporna Resort dilancar hari ini

Read Time:2 Minute, 0 Second

SEMPORNA: Penduduk di sekitar daerah Semporna bakal dilimpahi pembangunan ekonomi yang mampan khususnya dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang di daerah itu.

Ini berikutan satu lagi projek pelancongan yang dikenali sebagai Borneo Semporna Resort dilancarkan di sini, hari ini (18 Nov).

Majlis Pecah Tanah Projek Borneo Semporna Resort telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
 
Projek pembangunan ini adalah hasil kerjasama antara anak syarikat SEDCO, iaitu Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) dan Borneo Semporna Resort Sdn Bhd. Projek ini merupakan fasa pertama bagi pembangunan berjenis chalet di atas tanah laut ataupun “sea land” seluas 41.44 ekar.

Sebanyak 202 unit chalet pelbagai saiz dan juga kemudahan seperti restoran, kolam renang dan lobi untuk pelancong akan dibina dalam fasa pertama ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Christina berkata, projek ini bukan hanya dapat mengembangkan aktiviti pelancongan di Semporna tetapi juga dapat memberikan manfaat ekonomi signifikan bagi masyarakat setempat.

“Dengan wujudnya pembangunan Borneo Semporna Resort ini, ianya cukup membuktikan keyakinan kepada pemain-pemain dan pelabur-pelabur terhadap pulihnya sektor pelancongan di negeri Sabah terutama di Daerah Semporna. Ini adalah langkah maju yang selari dengan visi Sabah Maju Jaya,” katanya.

Justeru, tambah beliau, adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk melihat hasil dan perkembangan positif dan mampan daripada pembangunan projek ini.

“Saya pasti projek ini mampu memberi nilai tambah yang lebih baik kepada masyarakat sekitar terutama sekali dari segi peningkatan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat melalui wujudnya peluang-peluang pekerjaan.

“Ini adalah selari dengan kehendak kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam program Sabah Maju Jaya.

“Pihak kerajaan negeri dan rakyat di negeri ini khususnya mereka yang menetap di Daerah Semporna menanam harapan yang sangat besar untuk melihat projek ini berjaya dilaksanakan mengikut pelan yang telah dirancang,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri berharap bahawa projek ini tidak hanya menjadi penyumbang kepada pelabur tetapi juga memberi impak positif yang besar kepada kesejahteraan masyarakat sekeliling.

“Dengan harapan yang besar, kami melihat masa depan yang penuh harapan dan kemampanan tehadap masyarakat di Daerah Semporna khasnya.

“Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada SUDC, Borneo Semporna Resort Sdn Bhd dan semua yang telah sama-sama menjayakan majlis yang penuh bermakna pada hari ini,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi SUDC, Datuk Jamawi Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Semporna Resort Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Tang Yong Chew dan Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular