HomeIsu tempatanDBKK cadang tahap kebersihan tandas kriteria bagi pembaharuan lesen perniagaan

DBKK cadang tahap kebersihan tandas kriteria bagi pembaharuan lesen perniagaan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bercadang untuk menetapkan tahap kebersihan tandas premis makanan sebagai salah satu kriteria bagi pembaharuan lesen perniagaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, pemilik premis makanan perlu mendapat sekurang-kurangnya tahap tiga bintang berdasarkan Garis Panduan Star Rating Tandas Awam yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selain itu, bagi menangani masalah Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk atau dengan singkatan LiLaTiN di premis makanan, DBKK juga bercadang untuk menjadikan kawalan makhluk perosak (atau pest control) secara berkala di premis makanan sebagai salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

“Saya amat mengalu-alukan usaha ini dan menggesa agar semua pemilik premis makanan dapat mematuhi syarat- syarat ini kelak demi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya yang lebih selamat, selesa, sihat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Lintasan Deasoka di sini hari ini.

Abidin berkata,  pada tahun ini, DBKK telah menaik taraf tiga buah tandas awam di Pusat Bandaraya Kota Kinabalu melalui peruntukan daripada KPKT dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

Katanya, ini adalah komitmen dan usaha berterusan  Kerajaan dalam memastikan  penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan selaras dengan konsep Malaysia Madani dan hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Usaha ini juga selari dengan ‘Sustainable Development Goals’ serta visi DBKK iaitu ‘Kota Kinabalu Sejahtera’ dan sejajar dengan inisiatif ‘Love KK’ dalam memastikan Bandaraya Kota Kinabalu yang lebih bersih, inklusif dan menyeluruh.

“Ini juga dititik beratkan oleh DBKK melalui salah satu komponen dalam ’Love KK’, iaitu ‘Love Healthy KK’,” katanya.

Justeru beliau berharap aktiviti seumpama itu akan dapat dicapai dalam menerapkan pembudayaan tandas bersih dengan mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas dan meningkatkan kualiti pengurusan tandas.

“Selain itu, sambutan ini juga bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada tandas-tandas yang mencapai standard kebersihan serta mendidik masyarakat ke arah menjadikan semua tandas menepati ciri-ciri tandas BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi,” katanya . – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular