Putatan : Perarakan sepanduk sempena sambutan Maulidur Rasul merupakan medium terbaik dalam penyampaian mesej untuk membudayakan gaya hidup dari Sunnah Rasulullah SAW.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, perarakan sepanduk yang lazimnya diadakan ketika sambutan Maulidur Rasul merupakan medium penting untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat agar lebih mengenali dan sentiasa mencintai Rasulullah SAW.
“Selain perarakan sepanduk, kita turut berhimpun pada hari ini untuk bersama-sama menyuarakan sokongan kita kepada rakyat Palestin yang kini sedang dilanda ujian yang begitu berat.
“Saya juga menyeru semua untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kemanusiaan bagi membantu mereka yang ditimpa masalah kesan peperangan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas sambutan berkenaan di Dewan Sri Putatan, di sini pada Jumaat.
Pertandingan yang disertai oleh sebanyak 48 kontinjen itu menyaksikan Pejabat Parlimen Putatan muncul johan bagi kategori Jabatan dan Agensi, manakala Jabatan Kerja Raya dan Majlis Daerah Putatan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, bagi kategori Kategori Komuniti dan Pertubuhan, tempat pertama dimenangi oleh Masjid Nurul Ihsan disusuli Kelas Mengaji Masjid Daerah Putatan di tempat kedua dan Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih di tempat ketiga.
SK Kg Contoh, Petagas pula dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Sekolah Dan Madrasah, Madrasah Al-Hidayah di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh KAFA.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pegawai Daerah, Masawi Salleh, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abd Basir dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Petagas, Shamsir Zulkifli.