HomeUtamaInisiatif pastikan rakyat dapat pendidikan berkualiti

Inisiatif pastikan rakyat dapat pendidikan berkualiti

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah sentiasa mengambil inisiatif untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat pendidikan yang berkualiti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan juga tidak mahu ada anak-anak Sabah yang tercicir daripada menerima pendidikan yang sewajarnya.

Katanya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau yang dibiaya oleh PETRONAS dan bakal menerima pelajar bagi sesi tahun depan akan membantu memacu pendidikan di Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri ini.

“Justeru, kerajaan negeri amat berbangga kerana PETRONAS telah berjaya merealisasikan projek MRSM Ranau yang mampu menampung kira-kira 450 pelajar, malah menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini yang akan dikelolakan oleh pihak MARA.

“Melalui Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS, kita dapat melihat sokongan dan komitmen yang tinggi PETRONAS kepada kerajaan negeri dalam membantu melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berkualiti khususnya golongan teknokrat dan profesional sains yang mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan sebahagian daripada aspirasi negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan MRSM Ranau di Pusat Konvensyen Antarabansa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, sumbangan PETRONAS dalam bidang pendidikan wajar diberi pengiktirafan dan penghargaan kerana sentiasa komited dalam menyumbang ke arah pembangunan modal insan di Sabah sehingga kini.

Katanya, menerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Modal Insan dan Hal-hal lain Negeri yang telah dibentuk, kerjasama dengan pihak PETRONAS akan diperhebat bagi meningkatkan tahap profesionalisme, membangunkan keupayaan dan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran.

Tambahnya, inisiatif itu amat positif kerana sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing, berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

“Sudah tentu pewujudan MRSM Ranau dapat membuka ruang dan peluang yang luas kepada pelajar tempatan untuk mengambil bidang sains serta bidang pengkhususan akademik untuk memastikan lebih ramai pelajar kita terlibat dalam bidang STEM.

“Saya yakin konsep MRSM ini bukan saja memberi bangunan sekolah yang terbaik tetapi juga kakitangan akademik yang terbaik dan akan memberi manfaat bukan saja kepada Ranau tetapi juga daerah lain di sekelilingnya,” katanya.

Beliau turut berharap hubungan antara PETRONAS dan kerajaan negeri Sabah terus utuh dalam aspek pembangunan modal insan dan pendidikan, termasuk dari segi infrastruktur, pengisian akademik dan ilmiah di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi hadir ke pejabat SPRM secara sukarela

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular