Semporna: Mahasiswi Sarjana Sains Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Nur Afika Arman berjaya dinobatkan sebagai ‘Budjang Manis 2023’ sempena sambutan Regatta Lepa kali ke-28 yang berakhir semalam.
Gadis berasal dari Kampung Bugaya, Semporna itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 3,000 dan tiket penerbangan percuma dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Nur Afikah, 26, memikat hati para juri menewaskan sembilan finalis lain turut menerima Anugerah Busana Terbaik pada malam penangguhan sambutan Regatta Lepa kali ke-28 2023 yang dimeriahkan dengan kehadiran 30,000 pengunjung.
Sementara itu, Samsuddin Ismail, 32, berasal dari Kunak dinobatkan sebagai ‘Lalla Dorogan 2023’ dan membawa balik wang tunai berjumlah RM 3,000.
Juara Pertandingan Lepa Tradisi pula disandang Lepa Manis dari Kampung Sulabayan dan merangkul hadiah RM 7,000 menewaskan Lepa Tuan Bisa dari Kampung Tonggulangan di tempat kedua dan Lepa Makasilli juga dari Kampung Sulabayan di tempat ketiga.
Bagi kategori Lepa Kumpit Berhias, Lepa Dorogan dari Kampung Tundun muncul johan membawa pulang RM 7,000 manakala Water Villa Larapan di tempat kedua dan Kumpit Tuan Abisa di tangga ketiga.