HomeUtamaPusat peranginan lima bintang bernilai RM1 bilion dibina di Melinsung

Pusat peranginan lima bintang bernilai RM1 bilion dibina di Melinsung

Read Time:2 Minute, 57 Second

Papar : Sebuah pusat peranginan mewah bertaraf lima bintang yang dianggarkan menelan belanja hingga RM1 bilion akan dibina di Melinsung, di sini dan seterusnya dapat membantu memangkin industri hospitaliti dan perkhidmatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek yang akan dibina di Melingsung Papar itu dilaksanakan oleh Sinyi Group dan rakan kongsinya InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih kepada syarikat berkenaan kerana memilih untuk membina pusat peranginan di Sabah.

“Keputusan anda untuk melabur disini menunjukkan strategi yang besar dan bukan semata-mata membina kemudahan untuk menarik pelawat, tetapi juga membuat pelaburan strategik dalam Sabah.

“Apa yang penting bagi Sabah ialah, pelaburan seumpama ini yang membantu penghasilan berganda seterusnya meningkatkan ekonomi,” katanya pada Majlis Pecah Tanah InterContinental Resort di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan pusat peranginan itu bukan sahaja dapat mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan, tetapi turut menyumbang pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

“Kami juga mahu melihat kesan pelaburan ini terhadap perusahaan tempatan, di samping melihat impaknya sampai kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, Sinyi Group dan InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts memilih lokasi yang tepat untuk membina hartanah kerana kawasan itu dijangka berkembang pesat dengan pembinaan pintasan Pengalat-Papar dan menaik taraf Jalan Lok Kawi.

Mengenai bekalan air pula, Hajiji berkata, pihaknya melancarkan projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kogopon bernilai RM379 juta bagi meningkatkan kapasiti air kepada 80 juta liter sehari (MLD) bagi daerah Papar.

“Ini akan menangani masalah kekurangan air di selatan Pantai Barat Sabah dan memberi manfaat kepada kira-kira 160,000 pengguna di Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan sekitarnya.

“Projek ini akan meningkatkan liputan bekalan air bagi memenuhi bukan sahaja potensi perniagaan tetapi untuk permintaan industri, khususnya Minyak dan Gas Sabah Terminal (SOGT) dan Presint Agro-Industri Sabah (SAIP) di bawah Koridor Pembangunan Sabah sehingga 2040,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Projek Hidroelektrik yang bernilai berbilion ringgit itu di Ulu Padas Tenom pada awal bulan depan.

“Projek yang dijangka siap pada 2027 itu akan menghasilkan 180 MW kuasa untuk memenuhi keperluan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan empangan untuk menghasilkan 6,000 MLD air untuk memenuhi permintaan sehingga 80 hingga 100 tahun akan datang.

“Mengenai pelancongan, saya tidak perlu bercakap lebih lanjut mengenai tarikan di Sabah. Cukuplah untuk mengatakan bahawa Sabah sudah lama menjadi destinasi popular di seluruh dunia.

“Ketika ini industri pelancongan sudah kembali normal selepas pandemik COVID-19 dan kedatangan pelancong terus meningkat kepada 1.9 juta sejak Januari hingga September tahun ini. Sabah menyasarkan 2.2 juta ketibaan pelawat tahun ini dan saya gembira kerana kini sudah mencapai 86 peratus daripada sasaran,” katanya.

Beliau berkata, projek InterContinental Resort adalah satu lagi perkembangan positif untuk Sabah dan kini kita sudah menyaksikan hotel bertaraf lima bintang sehingga hotel bajet dengan kapasiti 26,822 bilik sudah dibina.

“Saya percaya kerjasama Sinyi Group dan InterContinental Hotels Group (IHG) and Resorts akan membawa sektor perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen ini sejajar dengan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah mengalu-alukan pelabur untuk mengkaji pelaburan dan peluang perniagaan, bukan sahaja dalam sektor pelancongan tetapi sektor lain juga, seperti pemprosesan hiliran makanan, memanfaatkan konsep Blue Economy yang baru muncul penggunaan sumber marin secara mampan.

“Selain itu, sektor tenaga seperti solar, tenaga angin, hidro dan teknologi penyimpanan, minyak dan gas serta pengeluaran hijau produk berasaskan teknologi dan produk hiliran biojisim. Saya sekali lagi tegaskan Sabah bersedia meneliti cadangan industri baharu daripada pelabur yang betul,” katanya.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular