Penampang : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara memberi penekanan utama kepada gerai dan warung yang bersih serta indah sebelum mahu melaksanakan pembangunan kota.
Katanya, penekanan itu adalah sejajar dengan populariti warung dan gerai sebagai lokasi tumpuan ramai berbanding restoran atau hotel yang ada di sesuatu kawasan.
“Saya minta semua PBT untuk beri keutamaan kepada bekalan air, lektrik, parit dan ini semua mesti dibersihkan. Sungai mesti dikorek, ingat lebih ramai rakyat ke warung, ke restoran kecil dari rakyat ke hotel lima bintang.
“Justeru, tumpuan kepada pembanguunan warung, gerai itu perlu diutamakan. Biar bersih dan indah kerana ini majoriti rakyat kita gunakan dan rakyat perlu jaga kebersihan ini.
“Pastikan juga kita dapat pertahankan mutu kebersihan itu, ini tugas penting juga untuk persatuan penjaja kecil, bukan saja minta peruntukan tapi ada misi. Ini kerajaan julung-julung kali bagi penekanan. Mahu bangunkan kota, bangunkan dulu warung-warung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat Kebangsaan di Buhavan Square di sini petang tadi.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata, Kerajaan Madani pimpinannya juga memberi keutamaan kepada pengekalan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi menjadikan ibu negara sebagai kota warisan.
Katanya, projek raksaksa yang dilaksanakan di ibu negara dan bandar lain di semua negeri tidak seharusnya menjejaskan nilai sejarahnya, sebaliknya pelan pembangunan perlu dirangka dengan baik untuk keselesaan hidup rakyat. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN