HomeUtamaPKP ESS Zone hanya dikuat kuasa di perairan Sabah

PKP ESS Zone hanya dikuat kuasa di perairan Sabah

Read Time:2 Minute, 16 Second

Semporna : Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Sabah yang dijenamakan semula pada 18 Oktober lalu dilihat semakin memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi operasi keselamatan yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Komander Eastern Command, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi keselamatan yang dilaksanakan itu turut dijayakan bersama pasukan keselamatan di pantai timur di negeri ini.

“Ini kerana, sejak dijenamakan, terma tersebut lebih lembut untuk disebut dan didengari serta banyak membantu mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan di ESS Zone.

“Ia juga adalah berdasarkan statistik kemasukan pelancong tempatan dan asing yang mengalami peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Di pihak ESSCOM, kita amat mengalu-alukan usaha Kerajaan menjenamakan semula terma yang sebelum ini didengari agak keras serta menakutkan dan melihat perkara ini sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memperkasa rakyat melalui Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Victor berkata, pihaknya amat memahami kegusaran dan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing berhubung terma PKP ESS Zone Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Perintah Berkurung.

Katanya, terma yang dikenali sebagai Perintah Berkurung itu kerap disalah tafsir turut dikuatkuasakan di daratan sedangkan ia hanya berkuat kuasa di perairan.

“Justeru, saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP ESS Zone Sabah ini yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan perairan yang melebihi jarak tiga batu nautika (5.556 kilometer) ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, pihaknya turut memohon pihak media dan masyarakat Sabah serta rakyat Malaysia amnya dapat membantu ESSCOM dan PDRM membetulkan kekeliruan yang timbul.

“Ini agar sektor pelaburan asing dan industri pelancongan di ESS Zone dapat ditingkatkan lagi sekali gus membantu mensejahterakan ekonomi masyarakat di ESS Zone,” katanya.

Terdahulu,  Ketua  Polis  Negara  (KPN)  dalam  Kenyataan  Media  bertarikh 16 Oktober   lalu berhubung   Perintah   Berkurung   Sabah   yang   tamat   pada 17 Oktober 2023 jam 6 petang dilanjutkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone Sabah No. 1 oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Perintah Berkurung di ESS Zone diisytiharkan mulai 19 Julai 2014 dan tamat pada siri ke-220 pada 17 Oktober 2023.

Ia merupakan satu mekanisme pemantauan dan kawalan oleh pasukan keselamatan iaitu PDRM, APMM dan ATM terhadap pergerakan bot atau kapal yang digunakan oleh penduduk setempat, pelaut, pelancong dan komuniti maritim (nelayan laut dalam khasnya) di laut atau perairan Wilayah Sabah yang berlandaskan kepada Akta Polis 1967. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular