HomeUtamaProgram Mobiliti TH amat terpuji, wajar diteruskan

Program Mobiliti TH amat terpuji, wajar diteruskan

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Program Mobiliti yang dilaksanakan Tabung Haji (TH) dengan memberi sumbangan van jenazah dan van penumpang kepada masjid, surau dan institusi kebajikan terpilih seluruh negara wajar diteruskan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 2016 itu amat terpuji dan harus diteruskan demi kemaslahatan ummah dalam menyempurnakan fardu kifayah.

“Saya pasti usaha ini akan memberi banyak manfaat kepada para penerima dan Insya-Allah, dengan niat murni ini, segala urusan TH dalam menyantuni para jemaah haji negara saban tahun akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Saya yakin Program Mobiliti telah banyak membantu para penerima terutamanya Pusat Tahfiz dan masjid-masjid dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Tahniah saya ucapkan kepada TH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH 2023 peringkat negeri Sabah di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah Sarawak Datuk Nurlaila Said, Ketua Hakim Syarie Sabah Ahadin Arinen dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Sabah Ismail Mohd Adnan.

Pada majlis itu, sebanyak dua buah van iaitu van serbaguna dan van jenazah diserahkan kepada Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Babussalam Kudat dan Masjid Ar Rahim Kampung Jawa Melalap Tenom.

Arifin berkata, pihaknya berharap pihak pengurusan Tahfiz dan Jawatankuasa masjid akan dapat menjaga dan menggunakannya dengan baik bagi manfaat semua ahli kariah dan penduduk setempat.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini menyeru agensi-agensi agama serta badan-badan korporat Malaysia Madani yang lain untuk terus melaksanakan inisiatif-inisiatif murni seperti Program Mobiliti dan program CSR lain yang Insya-Allah dapat membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular