oleh – Wan Azrain Adnan
1. Belanjawan Sabah 2024 bertemakan ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ yang di bentangkan baru-baru ini terus memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian di Sabah. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Sabah untuk memacu sektor pertanian sebagai salah satu sektor ekonomi utama di Sabah. Komitmen sebegini akan dapat meningkatkan hasil serta kualiti produk pertanian, dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan di Sabah.
2. Sektor pertanian merupakan sektor ekonomi ke-3 terbesar di Sabah, selepas sektor perkhidmatan dan sektor perlombongan dan pengkuarian. Pada tahun 2022, sektor pertanian telah menyumbang sejumlah 15.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, berbanding sektor perkhidmatan (49.5%) dan sektor perlombongan dan pengkuarian (24.8%).
3. Di bawah Belanjawan Sabah 2024, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah di berikan jumlah peruntukkan ke-4 terbesar dari sebelas Kementerian di Sabah, selepas Kementerian Kewangan, Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kerja Raya.
4. Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah di berikan peruntukkan sejumlah RM 553.07 juta, terbahagi kepada: RM 363.91 juta untuk perbekalan, RM 189.16 juta untuk pembangunan. Jumlah RM 553.07 juta tersebut merupakan 9.7% daripada jumlah peruntukkan keseluruhan perbelanjaan (RM 5.701 billion) Belanjawan Sabah 2024.
5. Belanjawan Sabah 2024 akan memberi fokus kepada pembangunan industri padi dan beras Sabah, bertetapan dengan usaha untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSL) Beras Sabah, dari 22% ketika ini kepada 31% pada tahun 2025. Ini adalah satu sasaran yang sukar untuk di capai di dalam tempoh masa singkat yang di tetapkan. Namun begitu, peruntukkan belanjawan yang di sediakan untuk industri padi dan beras Sabah adalah permulaan yang baik untuk mencapai matlamat yang di tetapkan.
6. Isu Kadar Sara Diri (SSL) Beras Sabah mesti di tangani segera kerana ianya telah menunjukkan trend menurun yang membimbangkan. Dalam tempoh masa 20 tahun, ianya telah menurun dari 41% (2004) kepada 22% (2022). Oleh kerana itu, Sabah terpaksa mengimport sejumlah 78% beras untuk memenuhi keperluan tempatan, terutamanya dari negara China, Vietnam, Thailand dan Pakistan. Pada tahun 2021, Sabah telah mengimport 261,672 tan beras, bernilai RM 534 juta.
7. Trend penurunan Kadar Sara Diri (SSL) Beras Sabah tersebut adalah di sebabkan oleh hasil pengeluaran padi yang menurun di Sabah. Dalam tempoh masa 2018 – 2021, pengeluaran padi telah menurun dari 77,099 tan (2018) kepada 70,407 tan (2021). Malah dalam tempoh yang sama (2018 – 2021), jumlah keluasan kawasan padi di Sabah telah mengecil sebanyak 14% (6,429 hektar): dari 44,634 hektar (2018) kepada 38,205 hektar (2021).
8. Maka, selaras dengan kenyataan yang di buat oleh Ketua Menteri Sabah pada Julai 2023, sejumlah RM 1.82 juta telah di peruntukkan di bawah Belanjawan Sabah 2024 untuk penubuhan semula Lembaga Padi Dan Beras Sabah. Ini adalah langkah yang penting agar usaha membangunkan industri padi dan beras Sabah dapat di selaraskan dan di laksanakan dengan berkesan.
9. Tambahan lagi, Belanjawan Sabah 2024 turut menyediakan peruntukkan:
- RM 18 juta: untuk pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi
- RM 5.16 juta: untuk pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha
10. Peruntukan untuk penambahan bilangan jentera membajak dan menuai sudah pasti akan dapat membantu para petani. Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, industri padi di Sabah ketika ini menghadapi kekurangan jentera untuk aktiviti membajak dan menuai. Sebagai contoh: Untuk kawasan padi seluas 24,013 hektar di Sabah, kira-kira 480 jentera membajak dan 240 jentera menuai di perlukan. Namun begitu, hanya 211 (44%) jentera membajak dan 143 (60%) jentera penuaian beroperasi secara aktif.
11. Di samping itu, Kerajaan Sabah juga akan memberikan penekanan kepada bidang penyelidikan untuk menambah daya-saing sektor pertanian di Sabah. Ini akan dapat meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan para petani. Sebagai contoh:
- Kerajaan Sabah akan meneruskan kajian terhadap varieti padi yang sesuai di tanam di kawasan sawah padi yang di masuki air masin khususnya di Pantai Timur Sabah, dan teknologi tanaman padi tanah kering juga akan di perkenalkan kepada petani.
- Ketika ini, Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran sedang menerokai bidang penyelidikan bioteknologi tumbuhan, khususnya biologi molekul, bagi menghasilkan varieti baharu yang mempunyai tempoh masa matang yang singkat, tahan terhadap serangan penyakit dan mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti.
12. Pada masa yang sama, Belanjawan Sabah 2024 menyediakan peruntukkan sebanyak RM 168.34 juta bagi program menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran di seluruh Sabah. Ini akan dapat meningkatkan pembolehdaya pengeluaran padi di Sabah, dan juga mengurangkan kesan bencana banjir kepada rakyat Sabah.
13. Isu infrastruktur pengairan dan saliran adalah satu isu legasi yang telah lama di hadapi oleh para petani di Sabah. Ini telah menyumbang kepada hasil pertanian yang masih rendah. Sebagai contoh: Pada tahun 2021, purata hasil padi di Sabah hanyalah 3.46 tan per hektar.
14. Namun begitu, Belanjawan Sabah 2024 tidak menyediakan peruntukkan khusus untuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini oleh para petani padi di Sabah. Usaha untuk membangunkan industri padi di Sabah sudah pasti akan terbantut sekiranya para petani masih bergantung kepada pertanian secara tradisional, dan tidak beralih kepada Model Pertanian Pintar yang berteraskan penggunaan teknologi seperti – dron, Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) serta robotik.
15. Model Pertanian Pintar, yang melibatkan automasi dan analisa data, telah terbukti dapat memberikan pelbagai manfaat kepada industri padi, termasuklah: meningkatkan produktiviti kerja, mengoptimumkan kos penanaman, mengurangkan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia, mengoptimumkan penggunaan racun dan air serta membantu kelestarian alam sekitar.
16. Justeru itu, Kerajaan Sabah wajar mempertimbangkan untuk menyediakan dana khusus sebagai insentif untuk menggalakkan para petani padi di Sabah mengguna-pakai teknologi terkini di dalam operasi penanaman padi. Dana teknologi sebegini akan dapat melonjak para petani ke era moden, dan seterusnya mengtransformasi industri padi di Sabah. Dana tersebut boleh di sediakan sebagai insentif input pertanian, serupa denganInsentif Pembajakan Sawah Padiyang di sediakan di bawah Belanjawan Sabah 2024.
17. Jumlah yang di peruntukkan untuk industri padi di bawah Belanjawan Sabah 2024 adalah masih kecil dan tidak mencukupi untuk mencapai matlamat yang telah di sasarkan. Namun begitu, peruntukkan yang di sediakan serta keputusan yang di ambil oleh Kerajaan Sabah di bawah Belanjawan Sabah 2024 dapat meletakkan asas yang baik untuk membangunkan industri padi dan beras di Sabah.
18. Sabah Teguh, Rakyat Terbela.