Kota Kinabalu : “Dia anak paling manja dan dia juga ‘pakar’ kami dalam teknologi maklumat,” kata Hamdan Mohd Sapong,55, bapa kepada Allahyarhamah Nur Aimi Hamizah Hamdan.
Nur Aimi merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (Ekonomi Perancangan dan Pembangunan) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai penerima Anugerah Akademik Secara Anumerta.
Anugerah yang disampaikan Pro Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim pada Konvokesyen UMS kali ke-25 itu diwakili adik Nur Aimi iaitu Ahmad Fadhil Arif Hamdan,21, di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.
Hamdan berkata, Nur Aimi merupakan antara anak yang sentiasa menjadi rujukan pelbagai perkara khususnya melibatkan isu-isu teknologi maklumat termasuk berkaitan penipuan atas talian atau ‘scammer’.
“Arwah anak saya ini paling hormat orang tua, paling manja. Kalau ada apa-apa perlu kami akan bertanya dia kerana adik beradik dia yang lain ada yang berjauh dari kami.
“Antara yang kami selalu rujuk dia adalah berkaitan teknologi maklumat. Dia juga selalu pesan agar sentiasa peka dengan keadaan di internet seperti scammer ini, semua perlu berhati-hati.
“Orang tua inikan selalu main tekan saja apa yang dilihat, tapi anak saya ini selalu pesan agar sentiasa berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa scammer,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini.
Hamdan turut ditemani isterinya Salmah Ramlee,53, mengakui anaknya itu diumpamakan sebagai ‘pakar’ dalam bidang teknologi maklumat.
Sementara itu, Ahmad Fadhil berkata, kakaknya itu tidak sempat untuk menghabiskan pengajian selepas dilaporkan menghidap kanser darah sebelum meninggal dunia pada 5 Disember 2022.
Katanya, sepanjang pengajian, kakaknya itu hanya mengikuti pengajian secara atas talian ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
“Ketika menyambung pengajian secara berdepan (di universiti) kakak saya sudah mula sakit dan terpaksa hadir temujanji di Kota Kinabalu dan Tawau.
“Hanya tinggal satu semester lagi untuk dia habiskan pengajian namun dia meninggal dunia Disember lalu dan saya akan meneruskan hasrat dia untuk membanggakan keluarga,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keperibadian kakaknya, Ahmad Fadhil turut mengakui kakaknya seorang yang manja dan paling rajin belajar sehingga tidur bersama buku.
“Kalau dia belajar, dia punya situasi belajar, tidur pun dengan buku-bukunya. Walaupun saya paling bongsu, tapi dia paling manja antara kami adik beradik,” katanya. – SABAH MEDIA