HomeSukanKesibukan dalam aktiviti sukan, wakili negara tidak halang Eizlan genggam ijazah

Kesibukan dalam aktiviti sukan, wakili negara tidak halang Eizlan genggam ijazah

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Atlet lompat tinggi negara, Mohamad Eizlan Dahalan tidak menjadikan kesibukan aktiviti sukan di padang sebagai halangan untuk menggenggam segulung ijazah di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-25.

Eizlan, graduan ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi (ANSOS) dengan Kepujian berkata, beliau berbangga dengan pencapaiannya ini kerana ia menandakan dia telah mengorak selangkah lagi ke hadapan untuk merealisasikan impiannya.

Ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara akademik dan sukan, beliau berkata bahawa dirinya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar dan atlet dengan disiplin diri yang tinggi dan pengurusan masa yang baik.

“Saya mengatur jadual untuk membahagikan masa saya untuk belajar dan membuat latihan.

“Kalau kelas saya pada pukul 8 pagi, mungkin saya akan mula berlatih pada pukul 5.00 petang. Kalau kelas tengah hari pula, saya akan mulakan latihan saya lebih awal sedikit daripada biasa.

“Apa yang saya praktikkan ini adalah perkara yang saya amalkan sejak zaman sekolah rendah di mana saya juga bergiat aktif dalam kegiatan sukan seiring dengan akademik saya,” katanya.

Ceritanya lagi, detik paling mencabar yang pernah dilalui adalah semasa di semester 5, apabila beliau mengambil sembilan subjek kursus dan pada masa yang sama perlu membuat persediaan untuk kejohanan Sukan SEA Vietnam. 

“Pada waktu itu, saya tidak berasa yakin bahawa saya dapat layak untuk menyertai Sukan SEA Vietnam tetapi saya telah berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi kedua-dua cabaran tersebut. 

“Alhamdulillah, saya layak dan telah melepasi pusingan kelayakan tersebut dan kemudian berjaya memenangi pingat gangsa untuk Malaysia,” katanya.

Lompatan setinggi 2.18 meter menjadi catatan rekod terbaiknya dan berjaya memenangi pingat gangsa di temasya sukan tersebut.

Beliau telah banyak meraih kejayaan dalam arena sukan lompat tinggi di peringkat kebangsaan dan juga peringkat Asia Tenggara.

Selain itu, antara pencapaian terbaik yang direkodkan beliau adalah apabila memenangi pingat emas dalam acara lompat tinggi lelaki pada kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) kali ke-20 yang berlangsung pada bulan Ogos tahun lalu di Thailand.

Anak kelahiran Tawau, Sabah ini turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapanya kerana melahirkan dan sentiasa menyokongnya dari aspek akademik mahupun sukan.

Beliau juga menasihatkan kepada semua pelajar UMS, walau apa sahaja yang dilakukan, terutamanya apabila sedang mengerjakan dua bidang berbeza pada masa yang sama, pastikan jaga masa, buat jadual supaya tidak kelam kabut.

Pada majlis konvokesyen tersebut, beliau menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

RELATED ARTICLES
Sukan

Keputusan Sabah tidak jejas persiapan Sukan SEA 2027: Hannah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular