KOTA BELUD: Sanggi @ Sagi berbangsa Dusun Tindal etnik dalam rumpun Kadazandusun, namun zuriatnya berkembang kepada tiga etnik terbesar di daerah ini, iaitu Bajau, Kadazandusun dan Iranun.
Ini berikutan kahwin campur dalam kalangan anaknya yang dianggarkan sejak 150 tahun lalu.
Walaupun susur galur keturunannya berbilang kaum dan berbeza agama, namun hubungan kekeluargaan berkekalan sehingga kini yang terbukti menerusi sambutan Hari Keluarga Sanggi @ Sagi di Kampung Labuan, di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Keluarga Sanggi @ Sagi, Badery Suod berkata, tiga anak Sagi memeluk Islam, iaitu Gebak @ Lebak, Selungkoi @ Ekoi dan Yakoi @ Indoi, manakala tiga lagi kekal dengan agama asal.
Katanya, zuriat Lebak @ Gebak Sanggi majoritinya menetap di Kampung Tamau, Lilud, Pintasan, Kayu Putih dan Rampayan Ulu, di sini dengan sebahagian besarnya etnik Iranun.
Beliau berkata, keturunan Solungkoi @ Ekoi pula majoritinya menetap di Kampung Labuan, Jawi-Jawi dan Lebak Engad di sini, selain Bengkongan, Kota Marudu; Kanibongan, Pitas dan Darau, Menggatal majoritinya Bajau Sama.
“Keturunan Yakoi @ Indoi pula majoritinya menetap di Kampung Pantai Emas dan kebanyakannya Iranun). Walaupun berbeza kaum dan agama, namun hubungan kekeluargaan berkekalan.
“Sambutan Hari Keluarga kali kedua 2023 menjadi platform penyatuan keluarga besar Sanggi @ Sagi,” katanya berucap pada majlis Hari Keluarga Sanggi @ Sagi, di Kampung Labuan, di sini. Badery dari etnik Bajau Sama.
Sementara itu, Penasihat Keluarga Sanggi @ Sagi, Ladim Abdul Rahman, berkata, tiga lagi anak Sanggi @ Sagi memilih kekal tinggal di Kampung Rosok, iaitu kampung asal mereka.
“Mereka adalah keturunan Tingangau, Tianggah dan Sanggong yang berbangsa Dusun Tindal, iaitu kaum asal moyang kami sebelum berkembang kepada etnik Bajau Sama dan Iranun,” katanya yang berbangsa Iranun.
Bagi Laimin Lihanan yang berbangsa Dusun Tindal, hubungan kekeluargaan perlu dipertahankan walaupun berbeza kaum dan agama.
“Kebanyakan jurai keturunan Sanggi @ Sagi sekarang adalah generasi ketiga dan keempat,” katanya.