HomeIsu tempatanMemperkasakan Ilmu : PETRONAS bantu tarik minat pelajar ceburi bidang STEM

Memperkasakan Ilmu : PETRONAS bantu tarik minat pelajar ceburi bidang STEM

Read Time:1 Minute, 32 Second

Pitas : Seramai 120 pelajar dari enam buah sekolah di daerah ini menyertai program Memperkasakan Ilmu: Discover PETRONAS @ Schools (DPS) yang diadakan di sini baru-baru ini.

Program anjuran Petronas yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Pitas itu adalah bagi menyemarakkan lagi minat pelajar terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Petronas dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan bagi mendedahkan pelajar mengenai kepentingan bidang STEM.

“Selain itu ia juga dapat membolehkan mereka memasuki kerjaya dalam industri minyak, gas, dan tenaga, sekaligus mempersiapkan mereka untuk menjadi penyumbang kepada kemajuan sektor berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Pelajar yang terlibat adalah terdiri dari pelajar tingkatan tiga dan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, SMK Pinggan-Pinggan, SMK Kanibungan, SMK Pitas II, SMK Telaga, dan SMK Bongkol.

Sepanjang program selama sehari itu, para pelajar berpeluang mengikuti perkongsian pengalaman oleh bakat-bakat muda Sabah yang berkhidmat dengan Petronas, sekaligus membolehkan mereka lebih mendalami dunia STEM.

Sementara itu, pelajar SMK Pitas Izza Amierah, 16, berkata sesi perkongsian itu menarik minatnya terhadap bidang STEM.

“Mendengar perkongsian pengalaman kerjaya mereka dan peluang yang ada dalam industri ini telah meyakinkan saya untuk mengejar impian untuk menjadi seorang jurutera,” katanya.

Bagi pelajar SMK Kanibungan Mack Enstianlinscky,15, turut bersependapat dengan Izza.

“Aktiviti sepanjang program tersebut amat menyeronokkan dan saya juga dapat belajar lebih banyak tentang kepentingan STEM. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengejar impian mereka dalam bidang STEM,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pitas (Sektor Pembelajaran) Normansur Ismail, guru-guru, dan sukarelawan PETRONAS.

Ini merupakan program DPS kedua di Sabah tahun ini selepas program di Tawau pada Jun lepas, yang disertai 520 pelajar dari 23 sekolah di daerah itu.

Sehingga kini, DPS telah memberi manfaat kepada lebih 26,000 pelajar dan guru di seluruh negara. – SABAH MEDIA / FOTO PETRONAS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular