Kota Kinabalu : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berdepan lima cabaran utama dalam menguruskan sektor bekalan elektrik di negeri ini.
Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, meskipun berdepan cabaran, SESB telah banyak mencapai kemajuan dalam tempoh 25 tahun penswastaan khususnya dalam pembinaan grid penghantaran dan pengagihan.
“Ingin saya kongsikan lima cabaran utama SESB pada hari ini. Pertamanya, cabaran yang paling kritikal ialah aspek kelestarian kewangan dimana SESB bergantung sangat dengan Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada Kerajaan Persekutuan untuk kekalkan tarif di bawah kos penjanaan dan penghantaran bekalan elektrik.
“Pada tahun 2022 sahaja TSS telah mencecah RM862 juta. Satu jumlah yang cukup besar, sekali gus menunjukkan kita perlu mengambil tindakan proaktif dan strategik dengan segera, dan secara konstruktif untuk memastikan setiap pelosok Negeri Sabah dibekalkan tenaga elektrik secara konsisten, berkualiti tinggi dan berlestari.
“Pada hari ini, SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan – iaitu 43.83 sen/kWj. Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual. Tentunya, subsidi bukanlah penyelesaian yang mampan. Tanpa TSS dan sebagai sebuah perniagaan, SESB adalah technically insolvent,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku ‘The SESB Story’ sempena sambutan Jubli Perak ke-25 SESB dan majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 di sini semalam.
Madius berkata, demi kelestarian sektor tenaga elektrik di Sabah, adalah penting untuk SESB merangka hala tuju yang jitu bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuklah subsidi Kerajaan.
Untuk tujuan itu katanya, adalah kritikal bagi SESB untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri, sekurang-kurangnya beban utama ataupun base load yang dijana dan dimiliki sendiri oleh SESB sebanyak 700 MW.
“Ketiga, cabaran strategik utama dalam memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap ke semua kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Namun demikian, terdapat daerah-daerah utama daripada sudut sosioekonomi seperti Ranau dan Telupid yang masih belum disambungkan ke Grid Sabah.
“Hal ini memberi implikasi yang besar kepada penyaluran dan penyediaan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan terbabit. Cabaran ini juga merupakan satu keutamaan bagi SESB,” katanya.
Dalam pada itu, Madius berkata, SESB sedang bekerja keras untuk menangani margin rizab yang pada masa sekarang dalam lingkungan 12 peratus.
Katanya, kedudukan ini tidak mencapai sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya dalam menetapkan amalan utiliti berhemat.
Menurutnya, kapasiti rizab yang terhad menyebabkan bekalan kuasa terdedah kepada ketegangan atau gangguan bekalan semasa waktu puncak atau gangguan yang tidak dijangka.
“Hal ini berpotensi mengakibatkan ketiadaan bekalan elektrik, yang merupakan satu keadaan yang sukar dan tidak diingini oleh pengguna. Sebagai entiti utiliti elektrik yang utama di Sabah, SESB mempunyai tanggungjawab dalam memastikan integriti bekalan elektrik kukuh sepanjang masa,” katanya.
Madius turut berjara, SESB turut berdepan cabaran dalam mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI).
Tambahnya, bilai SAIDI pada masa sekarang adalah sekitar 274.43 minit berbanding 4,109 minit pada tahun 2005, 424 minit (tahun 2013) dan 302 minit (tahun 2022).
“Banyak kemajuan telah dicapai dalam soal nilai SAIDI, tetapi SESB bekerja keras untuk terus mengurangkannya. Bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah, SESB menyasarkan untuk mengurangkan SAIDI sehingga 100 minit menjelang tahun 2030.
“Jurang antara angka ini memerlukan persoalan introspektif iaitu bagaimana SESB boleh mengukuhkan rangka kerja dalaman bagi mengekalkan sumber tenaga yang lancar dan berdaya harap. Jawapannya terletak pada potensi bekalan tenaga kerja dan sumber yang belum diterokai dalam menjana operasi SESB,” katanya. – SABAH MEDIA