HomeUtamaDUN Sabah : Kenaikan beban pengguna faktor utama penyumbang masalah bekalan elektrik

DUN Sabah : Kenaikan beban pengguna faktor utama penyumbang masalah bekalan elektrik

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Kenaikan beban pengguna daripada 900 Megawatt (MW) kepada 1,100 MW dalam tempoh setahun menjadi antara faktor utama kepada penyumbang permasalahan bekalan elektrik pada ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan beban pengguna itu adalah lanjutan dari pembangunan ekonomi yang rancak di negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, selari dengan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 yang telah dilancarkan pada 19 September 2023, maka fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track.

“Ini adalah bagi mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas di sini hari ini.

Hajiji berkata, antara PPP yang akan dilaksanakan termasuklah penyewaan set-set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100 MW secara berperingkat iaitu 40 MW pada bulan Disember 2023 dan 60 MW pada bulan Mac 2024.   

Selain itu katanya, pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70 MW turut akan dilaksanakan.

“Pelan pembangunan penjanaan turut dilaksanakan dengan menyiapkan projek Solar Berskala Besar sebanyak 62 MWpada tahun 2024 dan cadangan pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) sebanyak 100 MW yang dijadualkan untuk penyiapan pada tahun 2026 akan diawalkan untuk sasaran penyiapan pada tahun 2024.

“Pelan itu juga akan melaksanakan penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina dan pengoperasian sumber-sumber Tenaga Hijau melalui program Tarif Galakan dari sumber mini hidro berkapasiti 31.6 MW dan biogas berkapasiti 5.6 MW pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya lagi, penambahan projek Solar Berskala Besar sebanyak 100 MW pada tahun 2025 akan turut dilaksanakan menerusi pelan berkenaan,

“Disamping itu untuk memastikan kemampanan kapasiti penjanaan yang mencukupi, Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang akan juga dilaksanakan yang antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 MW, projek Solar Berskala Besar berjumlah 100 MW dan lain-lain projek penjanaan.


“Di samping itu terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link. Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna – pengguna industri di masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular