KOTA KINABALU: Negeri Sabah perlu untuk memperkasakan usaha untuk menggunakan “Tenaga Boleh Baharu” untuk penjanaan tenaga yang Lestari kepada alam sekitar dan sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Amisah Yassin.
Katanya, Reserve Margin tenaga elektrik Sabah ketika ini hanyalah 12 peratus sahaja berbanding pada tahap selamat 30 peratus. System Average Interruption Duration Index (SAIDI) ataupun purata tempoh gangguan bekalan elektrik pengguna dalam setahun di Sabah pada tahun 2022 adalah setinggi 286 minit berbanding di semenanjung 45 minit sahaja.
“Sabah banyak bergantung dengan arang batu dan petroleum untuk menjana tenaga elektrik yang tidak Lestari kepada alam sekitar.
” Oleh itu Sabah perlu memperkasakan usaha untuk menggunakan tenaga boleh baharu kerana ia merujuk kepada sumber tenaga yang bersih, mampan, dan rendah impak alam sekitar yang digunakan untuk menghasilkan tenaga sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah,” katanya semasa membahaskan Rang Undang – Undang Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Sidang Khas Dewan Undangan Negeri di sini pada Rabu.
Menurut Amisah, beberapa contoh tenaga yang boleh baharu termasuklah Tenaga Solar, Tenaga Angin, Tenaga Hydro, Biomass, dan Tenaga Gelombang dan Arus.
Katanya, negeri Sabah mempunyai kelebihan untuk menerokai dan menggunakan sumber tenaga boleh baharu. Negeri Sabah menerima radiasi solar tertinggi sebanyak 1,861 kWh/m2 berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh kerana radiasi solar adalah relatif tinggi, tenaga suria PV dianggap sebagai pilihan RE yang layak untuk Negeri ini.
“Berdasarkan kajian oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Sabah mempunyai kapasiti potensi sebanyak 99.4 GW yang boleh dihasilkan melalui tenaga suria PV.
“Selain itu, Sabah juga mempunyai potensi tinggi dalam mengggunakan bio tenaga dari sisa-sisa hasil, terutamanya dari aktiviti kelapa sawit. Menurut SEDA, biojisim merupakan sumber bio tenaga terbesar di Sabah dengan kapasiti potensi sekitar 561 MW daripada lebih 26.2 juta tan biojisim dari ladang kelapa sawit,” katanya.
Memandangkan banyak lembah sungai di Sabah, Amisah berkata, negeri ini juga boleh memanfaatkan potensi untuk menghasilkan tenaga hidro, baik yang berskala kecil mahupun besar, dengan kapasiti potensi sebanyak 1.1 GW. Untuk geotermal, satu kajian yang diterajui oleh Jabatan Mineral dan Geosains telah mengenal pasti kira-kira 100 MW potensi sumber geotermal di Tawau, Sabah.
“Kelebihan tenaga yang boleh baharu termasuk membantu mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar, mengurangkan pencemaran udara, dan menyokong pembangunan mampan. Penerapan teknologi ini di Sabah dan seluruh Malaysia dapat membantu menyediakan sumber tenaga yang lebih bersih dan membina masa depan yang lebih lestari.
“Namun, status quo sekarang, kerajaan persekutuan masih memberikan subsidi diesel bagi penjanaan elektrik pada kadar RM1.50 untuk 1 Kilowatt Perjam berbanding Renewable Energy seperti tenaga hidro, solar, biojisim dan banyak lagi, hanya memerlukan subsidi kos 31.5 sen untuk 1 Kilowatt Perhour,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, jumlah subsidi diesel untuk penjanaan elektrik adalah sebanyak RM1.27 Bilion iaitu 44% daripada jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM2.89 Bilion dari tahun 2016 hingga 2021 kepada Negeri Sabah.
“Penjanaan tenaga elektrik menggunakan diesel yang diketahui kos operasinya mahal dan mencemarkan alam sekitar. Sudah tiba masanya kita bertukar kepada projek penjanaan elektrik yang lebih mesra alam serta murah.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan dan memastikan penurunan dana dan kelulusan seperti Projek Upper Padas Hydroelectric, Hulu Padas dan Sungai Maligan Hydropower, Projek-projek Solar walaupun selepas ini Kerajaan negeri mengambil alih kawal selia berkaitan elektrik di Negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Amisah turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kabinet Negeri kerana berjaya mendapatkan kembali autonomi untuk mengawalselia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah sekarang selari dalam memperjuangkan hak Sabah dalam penjanjian Malaysia 1963. Ia bukan sahaja soal kejayaan tetapi juga soal tanggungjawab Kerajaan Sabah pada hari ini untuk menangani masalah bekalan elektrik pada masa jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Oleh demikian saya sangat menyokong penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk memastikan Kerajaan Sabah sentiasa dalam landasan yang betul dalam urusan tenaga di Sabah,” tegasnya.