HomeUtama"Tidak susah cari makanan halal di Sabah" - Arifin

“Tidak susah cari makanan halal di Sabah” – Arifin

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Tidak susah mencari makanan halal di Sabah, kecuali kita mahu kasi susah, susahlah tu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata demikian berikutan baru-baru ini tular di media sosial satu video memaparkan seorang lelaki memakai pakaian seperti seorang pedakwah agama (gambar) menyatakan sukar untuk mendapatkan makanan halalan toyyiban di negeri ini.

Menurut Mohd Arifin, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sangat komited dalam memperkasakan aspek halal di negeri ini.

“Sebelum ini pun kita telah memperkukuhkan konsep halal di Sabah dan banyak sijil halal yang telah dikeluarkan dengan sijil logo halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kita memperkasakan perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Penyampaian Bantuan Pendidikan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Beliau menafikan dakwaan video tular tersebut dan menegaskan bahawa di Sabah terdapat banyak logo halal yang telah diiktiraf oleh pihak JAKIM, ini bermakna ada makanan halal di Sabah.

“Jadi kita perlu berhati-hati dalam hal ini dan apa-apa kekeliruan, kita kena rujuk dengan MUIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JAHEINS) dan JAKIM. Selain itu, kita juga ada Majlis Halal Sabah (MAHAS) bagi menangani isu halal di negeri ini serta MUIS Halal Hub (MHH) yang saya pengerusikan sendiri.

“Sehubungan dengan itu, kita bersama JAKIM sentiasa memastikan halalan toyyiban ini dapat diperkasakan di negeri Sabah dan memang tidak susah untuk mendapatkan makanan halalan toyyiban di negeri ini,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular