HomeIsu tempatanGraduan seimbang aset negara untuk pacu kemajuan pembangunan nasional

Graduan seimbang aset negara untuk pacu kemajuan pembangunan nasional

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu:  Graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset negara yang diperlukan untuk memacu kemajuan pembangunan negara dan mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera.

“Amatlah jelas hasrat negara dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan terdidik bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi turut cemerlang sahsiahnya.

“Justeru itu, UMS melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar telah menawarkan kursus-kursus yang memfokuskan potensi pelajar dalam mengasah bakat dan kemahiran insaniah para pelajar melalui silibus kursus yang sesuai dan program-program yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Kokurikulum UMS (KARKUMS) Sesi 1 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Kasim menambah, salah satu inisiatif yang dilakukan adalah melalui Karnival Inovasi dengan tema “Inovasi Mudah dan Realistik”.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar diberi pendedahan tentang inovasi dengan bimbingan daripada jurulatih yang bertauliah.

“Usaha ini merupakan inisiatif yang baik untuk membuka mata pelajar dalam inovasi dan memberi peluang kepada mereka untuk berfikir secara kreatif sejajar dengan slogan UMS Peneraju Masyarakat Berinovatif,” katanya.

Melalui penganjuran KARKUMS juga katanya para pelajar berpeluang mempamerkan hasil pembelajaran mereka di meja pameran masing-masing dengan penuh kreatif dan ceria.

“Dengan bertemakan kebudayaan dan tradisional, semangat cintakan warisan budaya dapat dipupuk dalam kalangan pelajar, selari dengan slogan Karnival Kokurikulum kali ini iaitu “Pembudayaan Tradisi Warisan Bangsa, Melestari Jati Diri Sejati,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran logo KARKUMS bersempena dengan 30 tahun penubuhan UMS.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Jurry Foo; dan Pengarah Program KARKUMS, Awang Ku Syaiffudinsah Awang Ku Zainuddin.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular