HomeUtamaPenampang catat 52 kes measles sejak tahun lalu

Penampang catat 52 kes measles sejak tahun lalu

Read Time:2 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 52 kes measles atau demam campak telah direkodkan di daerah Penampang sejak tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 45 kes telah dilaporkan sepanjang tahun lalu manakala tujuh kes lagi dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) kedua tahun ini.

“Sebanyak 65 peratus merupakan bukan warganegara di mana julat umur kes tertinggi adalah di antara tujuh hingga 17 tahun (46 peratus) diikuti dengan dua hingga enam tahun (23 peratus). Kebanyakan kes iaitu 87 peratus tidak pernah menerima imunisasi measles.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 27 lokaliti telah melaporkan kes measles di mana enam lokaliti tertinggi adalah di Kampung (Kg) Kobusak (8 kes), Kg. Tunoh (5 kes), Community Learning Centre (CLC) Cerdas, Kg Limbanak (4 kes), Kg Lembah Impian (4 kes), Kg.Tuavon (4 kes) dan Kg. Kolopis (4 kes),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, kebanyakkan kes melaporkan gejala pada minggu epidemiologi ke-48 sehingga ke-52 pada tahun lalu.

Katanya, satu wabak measles dilaporkan di Kg. Limbanak yang melibatkan 37 kes di mana terdapat kaitan epidemiologi di antara kes-kes ini dengan kes-kes yang dilaporkan di lokaliti-lokaliti lain yang terlibat.

Menurutnya lagi, kebanyakan kes telah pulih dan hanya terdapat satu kes sahaja yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Walaubagaimanapun kes tersebut telah pulih dan telah di discaj. Bagi membendung penularan kes measles dalam kalangan masyarakat, JKNS melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang giat menjalankan aktiviti kawalan.

“Ini termasuklah penyiasatan kes yang menyeluruh termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal dan siasatan persekitaran. Aktiviti pemberian imunisasi bersasar kepada kanak-kanak di lokaliti terlibat merupakan antara aktiviti kawalan utama yang sedang dilaksanakan.

“Selain daripada itu, aktiviti promosi kesihatan juga sedang giat dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan imunisasi dan langkah-langkah pencegahan measles,” katanya.

Sementara itu, Dr Asits berkata, measles adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh virus measles.

Katanya., penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui udara dengan titisan cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

“Jangkitan measles dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi measles sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa. Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok.

“Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapatkan immunisasi measles yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Di negeri Sabah, imunisasi mealses diberikan pada usia enam bulan, sembilan bulan dan kemudian ketika berumur satu tahun. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, JKNS menasihatkan individu yang bergejala untuk sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin iaitu menutup mulut serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan measles kepada orang lain.

“Segeralah mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala measles,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

G57 lapor SPRM, gesa siasat kemelut air di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular