KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya memaklumkan Jalan Magandai yang ditularkan di media sosial sekarang ini, sebenarnya jalan tersebut sedang dalam fasa pembinaan.
Beliau berkata, pembinaan jalan yabg sedang dijalankan adalah sepanjang 40 kilometer bermula dari simpang menuju ke Kampung Tondig sehingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, Kota Marudu.
“Pihak kontraktor juga memaklumkan bahawa jentera mereka ada di tapak pembinaan dan juga dihantar ke (CH19+000- CH40+000) kawasan yang kerap berlaku kerosakan bagi tujuan membuat kerja-kerja penyelenggaraan.
“Namun demikian, berikutan dari keadaan cuaca yang hujan berterusan, telah mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut, ini menyukarkan kerja-kerja pembinaan dan selenggaraan.
“Walaupun berdepan cabaran tersebut, pihak kontraktor memaklumkan bahawa jentera mereka sentiasa berada di kawasan untuk membantu penduduk di kawasan tersebut,” jelas Shahelmey dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, tular dua video menerusi laman Facebook Moniq Cfrndz memaparkan empat orang kanak- kanak murid sekolah termasuk seorang kanak-kanak perempuan berjalan kaki meredah jalan raya yang rosak dan berlumpur dalam keadaan penat dan lapar demi untuk ke SK Magandai.
Menurut Moniq dalam kenyataannya yang turut dimuat naik, pada awalnya empat kanak-kanak tersebut menaiki kenderaan seorang cikgu SK Magandai namun kenderaan tersebut mengalami kerosakan di tengah jalan.
“Walau bagaimanapun mereka meneruskan juga perjalanan dengan berjalan kaki dan bermalam di sebuah pondok milik penduduk kampung di situ.
“Keesokan paginya mereka meneruskan perjalanan demi untuk ke sekolah dengan keadaan hujan yang tidak berhenti ditambah keadaan jalan raya yang sangat becak.
“Sedih luluh hati tengok mereka berjalan jauh demi untuk ke sekolah. Semoga murid-murid ini diberkati dan tetap semangat utk belajar dan rajin datang sekolah… tidak boleh bayangkan kalau keadaan ini terjadi dengan anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau yang tidak menyalahkan mana-mana pihak, turut berharap jalan raya yang rosak itu dapat dibaik pulih dengan segera kerana sudah tiga minggu guru-guru wanita dari sekolah tersebut tidak dapat keluar ke pekan Kota Marudu memandangkan keadaan jalan yang rosak teruk sukar untuk dilalui.