HomeUtamaKM: Politiking berterusan tidak menguntungkan sesiapa

KM: Politiking berterusan tidak menguntungkan sesiapa

Read Time:2 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Politiking secara berterusan tidak menguntungkan sesiapa malah hanya akan merugikan rakyat dan negara, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya terus fokus untuk merealisasikan dan memenuhi aspirasi rakyat yang mengutamakan kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup.

“Politiking yang berterusan hanya merugikan rakyat dan negara. Sekarang ini adalah masanya untuk bekerja, berkidmat dan berbakti untuk memenuhi aspirasi rakyat.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa bersama-sama pimpinan kerajaan Persekutuan dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara ini,” katanya.

Hajiji berkata demikian di Majlis Makan Malam sempena lawatan rasmi Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag. Hadir sama Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah tetap komited untuk terus menyokong kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendirian ini telah kita tegaskan sekali lagi beberapa minggu yang lalu, bila mana terdengar desas desus wujudnya Langkah Dubai, yang konon hendak menukar kerajaan pusat kepada satu lagi kerajaan yang baharu.

“Bagi kita, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini berfungsi dengan cukup baik dan cukup berkesan, justeru perlu didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan
kesinambungan pembangunan ekonomi negara.

“Kita juga akan terus bekerja dan berjuang untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sehingga tempoh pemerintahan kerajaan sekarang berakhir pada September 2025,” katanya.

Sehubungan itu katanya, fokus dan tumpuan kerajaan negeri sekarang ini ialah untuk `Merealisasi Aspirasi Rakyat’ sebagaimana yang telah ditegaskan semasa persidangan
agung Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat, pada bulan November lepas.

“Tekad dan iltizam kita jelas, iaitu untuk mengutamakan kemajuan dan pembangunan negeri, disamping sentiasa bersama-sama dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan –
dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Beliau turut berkongsi mengenai pencapaian Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PH Plus sejak tiga tahun mentadbir negeri Sabah.

“Dalam tempoh dua tahun berturut-turut, Sabah telah mencatat kadar pertumbuhan dan kutipan hasil negeri yang amat positif. Kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada 2021 dan RM6.96 bilion pada 2022, mencatat sejarah sebagai kutipan hasil tertinggi sejak merdeka.

“Selain itu, Sabah juga telah mencatat rekod perdagangan tertinggi pada kadar RM118.1 bilion pada tahun 2022, dan angka tersebut dijangka akan terus meningkat naik untuk 2023 dan 2024 ini.

“Paling ketara ialah jumlah pelaburan dari dalam dan keluar negara yang kini mencecah RM33 bilion, menunjukkan bahawa usaha-usaha yang digalas oleh Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu, untuk memulihkan ekonomi negeri setelah terjejas teruk akibat serangan pandemik Covid 19 telah berjaya dan membawa hasil yang cukup baik,” katanya.

Sambil mengalu-alukan kedatangan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor serta rombongan, Ketua Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memilih Negeri Sabah sebagai lokasi Program Pemukiman atau retreat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2024 ini.

“Mewakili kepimpinan kerajaan negeri, saya mengharapkan agar jalinan kerjasama dan persefahaman antara Sabah dengan Negeri Selangor Darul Ehsan, dalam apa jua bidang dan lapangan, akan dapat terus diperkukuhkan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Momentum Pemulihan dan Lonjakan Ekonomi Dalam Sektor Pelancongan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular