HomeUtamaEkspedisi Antartika: Kejayaan Prof Dr.Justin Sentian harumkan nama Sabah, Malaysia

Ekspedisi Antartika: Kejayaan Prof Dr.Justin Sentian harumkan nama Sabah, Malaysia

Read Time:2 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kejayaan anak kelahiran Ranau, Profesor Dr. Justin Sentian melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dan paling lama menjalankan ekspedisi penyelidikan musim sejuk di Antartika telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Dr.Justin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama bendera negara sepanjang tempoh tujuh bulan penyelidikan di Antartika.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr.Justin kerana beliau merupakan Saintis Malaysia pertama yang melaksanakan penyelidikan itu di Antartika. Pencapaian ini amat membanggakan kita.

“Lebih istimewa lagi ialah Bendera Sabah turut dikibarkan di Antartika”, katanya semasa menerima kunjungan Dr.Justin bersama Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof.Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, Abd Shukor Jamaluddin di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa.

Dr. Justin telah mengembalikan bendera Sabah yang telah dikibarkan di Antartika kepada Hajiji sebagai simbolik kejayaan melengkapkan Ekspedisi Penyelidikan Musim
Sejuk di Antartika. Bendera Sabah yang sama telah diberikan oleh Hajiji semasa kunjungan hormat Dr Justin pada 10 Mac 2023, sebelum beliau berlepas ke Antartika.

Dr. Justin dari Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjalankan ekspedisi penyelidikan
semasa musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan, antara 21 Mac hingga 27 Oktober 2023, sekaligus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk dunia itu.

Sepanjang di Antartika, beliau telah tinggal dan melakukan kajian di stesen Profesor Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika.

Ekspedisi itu yang julung-julung kali diadakan,dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antártico Chileno (INACH)).

Dr. Justin telah menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’.

Kajian tiga tahun yang dijalankan dengan kerjasama INACH dan University of Santiago ini mengkaji peranan halokarbon reaktif terhalogen dalam kimia ozon permukaan dan keadaan meteorologi di bawah keadaan cuaca musim sejuk yang melampau.

Halokarbon merupakan gas rumah hijau yang boleh menyumbang kepada perubahan iklim, dan ia juga bertanggungjawab terhadap kehilangan ozon stratosfera sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Dr. Justin telah memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.

Beliau juga berjaya mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halocarbon seperti bromokarbon dan sebagainya.

Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapinya, terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem.

“Ada ketika suhu udara mencapai – 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah kelajuan 120 km/jam. Hasil kajian ini diharap akan dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk.

“Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan ozon di Antartika”, katanya menceritakan pengalaman membuat penyelidikan di Antartika.

RELATED ARTICLES
Utama

TSA 2012 & pelantar benua kekal sebagai perkara yang “tidak boleh...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular