Kota Kinabalu : Proses pembangunan fizikal Ibu Kota Nusantara (IKN) yang berpindah ke wilayah Kalimantan Timur kini sudah mencapai antara 40 hingga 50 peratus.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Rafail Walangitan berkata, pembangunan itu meliputi pembinaan gedung dan fasiliti utama Kerajaan selain hotel.
Katanya, Indonesia juga turut dijangka akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negaranya buat julung kali di Nusantara pada Ogos depan.
“InsyaAllah pemindahan IKN Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur akan berlangsung secara rasmi pada tahun ini dan tentunya kami berharap bahawa perpindahan itu akan memberikan positif terhadap kerjasama Indonesia dengan kerajaan negeri Sabah kerana kedudukannya yang dekat.
“Kita menginginkan dengan perpindahan IKN ini, kesan limpahannya akan besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan kunjungan sosial budaya juga semakin meningkat di antara Sabah dan Indonesia.
“Tentunya potensi kerjasama perdagangan dan ekonomi juga kita mengharapkan akan semakin besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perjumpaan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu bersama media Sabah di sini semalam.
Rafail berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini proses pembangunan IKN baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara, di Kalimantan Timur.
Sebelum ini, Indonesia menjadualkan pemindahan IKN itu bermula pada 2024 yang akan didahului dengan pembukaan Istana Negara dan beberapa kementerian utama negara berkenaan.
Beliau berkata, perpindahan itu bukan saja membawa perubahan di wilayah Kalimantan, malah turut dijangka melimpah ke wilayah jirannya, termasuk di Sabah, khususnya menerusi perdagangan rentas sempadan. – SABAH MEDIA