Kota Kinabalu : Usaha menjaga alam sekitar ataupun amalan hijau khususnya di negeri ini adalah amat penting meskipun ada projek-projek Kerajaan yang perlu dilaksanakan demi pekebun kecil.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk bersama menjaga ekosistem bagi mengelak berlakunya kemusnahan yang akhirnya memudaratkan kepada semua pihak.
“Negara kita memang kaya dengan alam flora dan fauna dan ianya perlu dijaga bersama walaupun kita terus maju kehadapan dengan program pembangunan ladang yang melibatkan kepentingan pekebun kecil getah.
“Disamping melaksanakan program-program pembangunan tanah pekebun kecil, pengurusan kawasan secara teratur menjadi keutamaan. Ini termasuklah penekanan kepada pengurusan alam sekitar yang lestari.
“Usaha-usaha ini bukan saja akan membuka mata kepada semua pihak, bahkan ianya adalah langkah pertama sekaligus menjadi menjadi perintis kepada semua Jabatan dan agensi kerajaan bukan saja di Sabah khususnya bahkan di seluruh Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sijil Pengurusan Hutan di sini baru-baru ini.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, penganugerahan sijil itu merupakan satu sejarah buat sektor getah di Malaysia dan menjadi kebanggaan sebagai warga Sabah.
Katanya, ia juga menjadi kebanggaan khusus para pekebun kecil di daerah Tuaran kerana pengiktirafan pengurusan hutan ini telah bermula oleh Forest Stewardship Council (FSC).
“Saya telah maklum bahawa seramai 56 para peserta yang terlibat di ladang getah LIGS, Skim Penempatan Getah Tuaran adalah perintis dan merupakan penerima pensijilan yang akan disampaikan pada kali ini.
“Tahniah khusus kepada peserta ladang Skim Penempatan Getah Daerah Tuaran, kerana menjadi sebahagian daripada watak utama dalam menjayakan pensijilan dari awal,” katanya.
Beliau berkata, LIGS sedang dalam usaha untuk meluaskan skop pensijilan di ladang-ladang lain yang dikendalikan oleh LIGS di beberapa daerah termasuklah daerah Tenom, Keningau dan Sipitang untuk diperakukan oleh FSC.
“Melalui usaha dan perancangan ini, maka semakin ramai pekebun kecil akan dimasukkan ke dalam skim kumpulan FSC. Saya menyokong dan menghargai Usaha-usaha ini ianya perlu diteruskan dan boleh dijadikan contoh kepada pemain industri lain,” katanya. – SABAH MEDIA