HomeIsu tempatanAdat 'sogit' Sabah tidak mengira bangsa, agama

Adat ‘sogit’ Sabah tidak mengira bangsa, agama

Read Time:2 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Seramai 800 peserta termasuk pelajar tahun satu Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program ceramah bertajuk “Sogit: Perubahan Pelaksanaan Amalan Sogit dalam Kalangan Masyarakat Kadazandusun di Sabah” baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UMS bersama Kursi Kadazan-Dusun UMS itu telah diadakan secara dalam talian.

Ia juga adalah bertujuan bagi meningkatkan pengetahuan para peserta tentang keunikan masyarakat Sabah melalui kursus teras fakulti yang bertajuk ‘Budaya dan Masyarakat di Sabah’.

Ketua penganjur Dr Trixie Marjorie Tangit berkata, seramai tiga penceramah telah berkongsi refleksi tentang amalan sogit dalam kalangan masyarakat KadazanDusun di Sabah.

Antaranya Ketua Anak Negeri (KAN), Roger Meylin Impou (Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu), Ketua Anak Negeri (KAN), Viola Giluk Dompok (Mahkamah Anak Negeri Daerah Penampang) dan Ketua Kampung, David Raji Joy (Kampung Kopimpinan, Putatan, wakil Ketua Daerah OKK Datuk Stephen Sondoh (Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan).

Menurut Roger, sogit adalah tradisi lama dalam masyarakat Anak Negeri yang bertindak sebagai penalti kerana melanggar undang-undang Anak Negeri.

“Sogit bertujuan menjaga keamanan, menyelesai konflik, meredakan ketegangan selain dari mengenakan pampasan bagi pelanggaran adat di Sabah. Dalam konteks Mahkamah Anak Negeri, sogit melibatkan hukuman berdarah (melibatkan sembelihan binatang) berpandukan Enakmen Anak Negeri (Undang-undang Adat Anak Negeri 1995).

“Dari segi sejarah, sogit diperluaskan kepada interaksi dengan roh terutamanya dalam ritual pagan. Namun demikian, pada masa ini, upacara sebegini jarang berlaku di Kota Kinabalu kerana penganutan agama dan sukar untuk mendapatkan bobolian, tetapi masih diamalkan di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambah Roger, walaupun peredaran zaman yang semakin moden membawa kepada perubahan cara hidup sosial dan penganutan agama, perlaksanaan amalan sogit dalam kalangan etnik Kadazan Dusun tidak banyak berubah disebabkan amalan sogit merupakan amalan yang diwarisi sejak dulu lagi.

“Generasi muda hari ini berpendapat bahawa amalan sogit ini suda lapuk, ketinggalan zaman dan berfikiran kolot. Namun mereka tidak ada pilihan. Langgar adat, langgar pantang mesti kena sogit,” katanya.

Pada program tersebut, para penceramah menegaskan bahawa denda dan amalan sogit adalah berbeza di setiap daerah (kampung masing-masing) dengan ketua kampung diberi kuasa untuk mengenakan denda sogit terutamanya dalam kes pelanggaran adat atau konflik dan boleh bertindak sebagai orang tengah untuk penyelesaian secara aman di peringkat kampung.

Sementara itu, KAN Viola Giluk Dompok berkata sogit berkenaan dengan pelanggaran undang-undang adat Anak Negeri adalah tidak mengira agama atau bangsa, selagi melibatkan Anak Negeri maka sogit akan tetap dikenakan.

Katanya sebagai contoh tindakan keterlaluan dan tidak senonoh yang pernah dilakukan oleh warga asing ke atas Gunung Kinabalu dikenakan sogit melibatkan upacara korban haiwan seperti kerbau, ayam atau babi dan diikuti ritual untuk menenangkan semangat dan roh-roh di gunung mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun.

“Pada zaman moden ini, memang terdapat perubahan dalam adat tradisional (sogit). Beberapa amalan tradisi terutamanya dalam golongan orang tua masih diamalkan. Namun generasi muda mungkin tidak sedar kerana kurang pengetahuan mengenai amalan sogit dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun di Sabah.

“Ini kerana, Ketua Kampung hanya mempunyai peluang untuk membincangkan adat-adat sogit pertunangan dalam upacara pertunangan dan majlis berkaitan sahaja.

“Kebanyakan amalan tradisi ini diamalkan oleh masyarakat pagan sebelum ini. Tetapi kebanyakan kita sudah mempunyai agama masing-masing. Jadi tidak semua adat masih diamalkan. Hanya beberapa adat yang sering kita lalui setiap hari,” jelas David Raji.

Turut hadir pada ceramah tersebut, Pemegang Kursi Kadazan-Dusun UMS, Profesor Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Yayasan Qhazanah Sabah ceriakan pesakit Hospital Sipitang menerusi sumbangan krismas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular