HomeUtamaLengkapkan diri dengan kemahiran, pengetahuan - Shamsul

Lengkapkan diri dengan kemahiran, pengetahuan – Shamsul

Read Time:1 Minute, 18 Second

Tuaran : Anggota baharu Jabatan Penjara Malaysia dinasihati untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta pengalaman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, jabatan itu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membina kembali potensi insan melalui program pemulihan dan pembentukan semula.

“Sebagaimana kita tahu, tugas yang dilaksanakan di Jabatan Penjara Malaysia meliputi bidang keselamatan serta pemulihan dan ianya cukup mencabar dan berisiko.

“Jika seseorang pegawai tidak dilengkapi dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran, kemungkinan besar keyakinan diri dan emosi mereka akan terganggu lalu menyebabkan mereka sukar untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Sebagai anggota baharu, anda perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan produktiviti, kualiti perkhidmatan dan lebih kreatif sejajar dengan matlamat jabatan untuk menjadi sebuah institusi koreksional yang efektif,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara (KSAPP) Siri 1/2023 di Pusat Latihan Rela, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, seramai 20,000 banduan kini menjalani program pemulihan bersama masyarakat.

“Melalui program di luar penjara iaitu Program Parol, Pembebasan Banduan Secara Berlesen, Program Reintegrasi Penghuni, Program Reintegrasi Penghuni Industri dan Perintah Kehadiran Wajib, kini terdapat lebih 20 ribu banduan menjalani program pemulihan bersama masyarakat.

“Program berkenaan amat berkesan yang mana ianya turut dapat mengurangkan kos pengurusan serta dengan kadar residivis yang rendah iaitu kurang dari 0.5 peratus,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 262 pelatih terdiri daripada 172 pelatih dari negeri Sabah dan 90 pelatih dari Sarawak berjaya menamatkan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara yang berlangsung selama 23 minggu bermula 21 Ogos tahun lepas.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular