HomeUtamaJBPM serius pastikan perakuan keselamatan kebakaran bomba dipatuhi

JBPM serius pastikan perakuan keselamatan kebakaran bomba dipatuhi

Read Time:1 Minute, 35 Second

Penampang :  Sebanyak 207 premis di negeri ini dikenal pasti tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba atau Fire Certificate (FC) dan ianya boleh memberi risiko yang tinggi dari segi keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Abdul Razak Muda berkata, selain itu pihaknya mendapati hanya 284 premis sahaja yang sudah mempunyai FC.

“Pihak kita telah mengenal pasti sebanyak 491 premis berdepan risiko tinggi dimana dari jumlah itu hanya 284 premis sahaja yang mempunyai FC manakala 207 masih lagi belum memohon atau belum memperbaharui sijil tersebut.

“Tahun lepas, tindakan undang-undang telah diambil terhadap lapan premis yang mana tujuh dikenakan kompaun manakala satu premis di Lahad Datu ditutup atas arahan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan di sini, baru-baru ini.

Abdul Razak berkata, secara perbandingan, setakat Februari tahun ini, sebanyak tujuh kes diangkat ke mahkamah melibatkan empat di Kota Kinabalu, dua di Tawau dan satu di Lahad Datu.

“Ini menunjukkan JBPM Negeri Sabah pada tahun ini sangat serius dalam memastikan agar perakuan keselamatan kebakaran bomba ini dipatuhi sepenuhnya oleh setiap premis,” katanya.

Beliau menggesa semua agensi kerajaan dan swasta memberikan kerjasama kepada JBPM dalam membendung kes kebakaran terutamanya kebakaran bangunan agar tidak meningkat pada tahun ini.

Dalam pada itu, sempena dengan perayaan Tahun Baru Cina, Abdul Razak menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dari aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran di kediaman masing-masing.

“Saya ingin menggesa penghuni-penghuni domestik agar memastikan peralatan elektrik ditutup semasa meninggalkan rumah untuk balik ke kampung dan juga tidak membuat sistem pendawai elektrik sewenang-wenangnya.

“Orang dewasa juga dinasihatkan untuk memantau anak-anak ketika melakukan aktiviti bermain mercun agar tidak melakukan aktiviti yang boleh membahayakan mereka,” katanya.

Antara pengisian pada majlis berkenaan adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, penyampaian sijil Perakuan Bomba kepada dua premis baru yang pertama kali mendapat Perakuan Bomba, pameran keselamatan kebakaran serta pertunjukan kebombaan.

RELATED ARTICLES
Utama

SMM ambil tindakan undang-undang susulan salah laku bekas CEO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular