Pitas : Pencak silat di negeri ini berjaya melakar nama dipersada dunia apabila disenaraikan dalam ‘Asia Book Of Records’ menerusi persembahan pencak silat paling ramai di Asia.
Rekod yang dicipta sempena Festival Tahun Baharu Cina (FTBC) itu telah diadakan di Dataran Salimpodon Pitas di sini.
Program bersejarah anjuran bersama Pejabat Daerah Kudat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah serta pelbagai agensi dan jabatan setempat itu telah dirasmikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Sri (Dr) Ruddy Awah.
Ruddy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas berkata, aktiviti seni mempertahankan diri mampu menyihatkan badan dalam kalangan peserta terlibat.
“Aktiviti seni mempertahankan diri ini bukan saja dapat menyihatkan tubuh badan malah mampu menjadi wadah dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan kelab, jurulatih dan masyarakat setempat,” katanya.
Pencapaian yang berjaya dicipta itu telah disertai lebih 800 peserta yang menghimpunkan Gerak Seni mempertahankan diri Silat dari seluruh pelusuk negeri Sabah.
Terdahulu acara dimulakan dengan pelaksanaan Program Budaya Bersukan Teras Aspirasi Famili Sihat (AKTiF) Senamrobik yang disertai semua perserta dan orang awam.
Selain Persembahan Pencak Silat paling ramai di Asia, Persembahan Muzik dan Tarian Tradisional Pinakang Kimaragang Selama lima jam tanpa henti dan FTC Enduro Records 2024 juga berjaya dicatatkan dalam Asia Book of Records. – SABAH MEDIA / FOTO KBS Sabah