Kota Kinabalu : Pasukan mewakili Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Core A berjaya menjuarai Kejohanan Bola Tampar Wanita Jemputan Piala Pengarah PKK di sini baru-baru ini.
Kejohanan yang dianjurkan Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan PKK itu turut disertai sebanyak enam buah pasukan dan disempurnakan Pengarah PKK, Dullah Muluk.
Dengan kemenangan itu, PKK Core A berjaya membawa pulang piala pusingan, pingat dan sijil penyertaan.
Sementara itu, pasukan PKK Tempur berjaya menbawa pulang pingat perak dan pasukan mewakili Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILP) dan PKK Harummas berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Turut menyertai kejohanan ini ialah pasukan Lembaga Koko Malaysia (Sabah) dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah.
Terdahulu, Dullah berkata, objektif utama penganjuran kejohanan itu adalah bertujuan untuk pembangunan bakat dalam sukan bola tampar selain mengeratkan silarturahim bersama jabatan dan agensi kerajaan di Sabah.
Dalam pada itu, Pengarah Program Kejohanan, Nur-ul Balqes Md Zaid berkata, kejohanan ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan yang tinggi serta meningkatkan kerjasama berpasukan dalam diri peserta. – SABAH MEDIA / FOTO PKK